Fasa kedua rancangan perkembangan rangkaian jenama Peugeot di Malaysia diteruskan oleh pengedar rasminya, Nasim Sdn Bhd dengan pembukaan sebuah pusat servis dan alat ganti (2S) di Balakong, Selangor.

Pusat 2S yang terletak di tapak seluas 29,000 kaki persegi ini menempatkan 12 ruang servis, bahagian baik pulih badan serta cat kenderaan, servis tayar serta penjajaran. Dalam sehari, 36 kenderaan mampu diservis dan setakat ini ia adalah pusat servis Peugeot terbesar sebelum pusat 4S di Glenmarie dibuka pada bulan Mei tahun ini. Pusat 4S di Glenmarie tersebut juga akan menempatkan ibu pejabat Nasim Sdn Bhd yang baru dan melibatkan pelaburan sebanyak RM12 juta.

Pelanggan di pusat 2S Balakong juga boleh menikmati khidmat penghantar yang disediakan Nasim ke stesen komuter KTM Serdang dan Jaya Jusco Cheras Selatan.

"Melalui rancangan perkembangan rangkaian ini, kami mensasarkan penjualan 9,300 unit kenderaan, iaitu 72 peratus lebih tinggi daripada jualan tahun 2011," kata Ketua Pegawai Operasi Nasim Sdn Bhd, Datuk Samson Anand George.

Selain itu, beliau turut menyatakan Nasim akan melancarkan empat lagi model kenderaan baru tahun ini termasuk model T73 yang turut akan dieksport ke negara yang menggunakan kenderaan panduan kanan.

Sempena majlis pembukaan tersebut, Nasim Sdn Bhd turut mengumumkan jaminan lima tahun tanpa sebarang had batuan untuk kenderaan Peugeot baru yang dibeli bermula 1 April 2012. Bagi mereka yang membeli sebelum tempoh itu tetapi masih dalam had jaminan asal (tiga tahun), mereka boleh menghubungi Nasim untuk mendapatkan jaminan ini dengan bayaran yang telah ditetapkan.

Pemilik juga dapat menikmati servis bantuan Peugeot Assist dan program Peugeot Privilege. - Durrani Sharom, 9 April 2012.