SEJUMLAH 10,000 poskad yang ditandatangani rakyat Malaysia bagi menuntut Kerajaan Britain memohon maaf secara terbuka berhubung pembunuhan 24 penduduk kampung secara salah oleh tentera British di Batang Kali pada 1948, diserah kepada Suruhanjaya Tinggi Britain di Kuala Lumpur semalam.

Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia Simon Featherstone menerima poskad itu daripada pengerusi Gabungan Bertindak Malaysia (GBM) Tan Yew Sing dan penyelaras Jawatankuasa Bertindak Bagi Mengutuk Pembunuhan Beramai-ramai Di Batang Kali Quek Ngee Meng.

Projek poskad anjuran dua badan bukan kerajaan itu, yang bermula Disember lepas, bertujuan mewujudkan kesedaran rakyat negara ini tentang kedudukan kerajaan Britain dalam perkara berkenaan, di samping untuk mengajak rakyat Malaysia menyuarakan keprihatinan mereka melalui kempen tanda tangan itu.

Peristiwa malang itu berlaku pada 12 Disember 1948 ketika tentera British melancarkan operasi terhadap pengganas komunis setelah berakhirnya perang Dunia Kedua.

Menurut dakwaan, Platun Ketujuh G Kompani, Scots Guards Kedua, telah mengepung sebuah ladang getah di Sungai Rimoh dan menembak mati 24 penduduk kampung, sebelum membakar kampung berkenaan.

Pada Januari 2009, Pejabat Luar Britain menolak seruan agar satu siasatan diadakan, tetapi tiga bulan kemudian, kerajaan negara itu dilaporkan menimbang semula keputusan itu.

Pada September 2012, Mahkamah Tinggi London mengekalkan keputusan kerajaan Britain untuk tidak mengadakan siasatan awam terhadap pembunuhan 24 orang awam yang berlaku di Batang Kali lebih 60 tahun lepas.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Tan berkata Featherstone menyuarakan simpati beliau terhadap mereka yang menjadi mangsa dalam pembunuhan beramai-ramai itu dan berjanji akan menyampaikan keprihatinan rakyat Malaysia berhubung kejadian berkenaan kepada kerajaannya.

"Kami (anggota jawatankuasa) kagum dengan usaha beliau dan kami bersikap serius serta memandang berat tentang isu ini kerana keadilan perlu ditegakkan demi memelihara dan meningkatkan hubungan baik antara kedua-dua negara pada masa akan datang.

"Kami berharap kerajaan Britain akan menutup bab ini dengan membuat permohonan maaf secara terbuka serta membayar pampasan kepada keluarga terbabit dan mereka perlu bersedia untuk membincangkan serta menyelesaikan perkara ini di luar mahkamah," katanya.

Sementara itu, seorang anggota keluarga mangsa dikenali sebagai Lim Kok berkata permohonan maaf itu sekurang-kurangnya akan dapat membantu meredakan kesengsaraan yang dirasainya hingga kini apabila bapanya, Lim Tian Swee, dibunuh dalam kejadian itu.

"Saya amat berharap kerajaan Britain akan membuat permohonan maaf secara ikhlas kepada kami berhubung perkara ini dan membayar pampasan bagi segala penderitaan yang kami tanggung selama ini" katanya.

- Bernama