Seorang wanita akan sentiasa mengalami perubahan hormon dalam badan mereka. Dua hormon yang penting bagi wanita ialah hormon estrogen dan progesteron. Fungsi hormon estrogen ialah mengekalkan sifat kewanitaan seorang wanita, kesihatan jantung, tulang, memori otak, kesuburan dan keanjalan kulit.
Fungsi hormon progesteron pula ialah mengekalkan ciri kewanitaan, kesuburan, ketenangan emosi, kesihatan tulang, antikanser dan menstabilkan air dalam badan. Perubahan hormon berlaku setiap kali berlakunya kitaran haid,  mengandung, selepas bersalin serta menopaus. Kaedah perancangan keluarga yang berasaskan hormon juga menyebabkan hormon tidak stabil di dalam badan.  Perubahan hormon ini menyebabkan seorang wanita itu kerap mengalami masalah mengawal berat badan.


OBESITI
Menurut Pakar Perubatan, Dr. Nurhalina Azly Minhat, obesiti ialah keadaan apabila berat melebihi BMI 30 (Indeks Jisim Tubuh) (Formula Kiraan: BMI = berat (kg)/tinggi(m) x tinggi(m). Jika seorang ibu mempunyai BMI melebihi 30, risiko untuk mendapat penyakit kronik akanmeningkat. Antara penyakit-penyakit kroniknya ialah serangan jantung, angin ahmar, tekanan darah tinggi, sakit lutut dan sendi, penyakit gout, kolesterol tinggi, kerosakan hati serta penyakit metabolik seperti kencing manis.


Apabila berat bertambah, lemak di dalam badan terkumpul bukan sahaja di bawah kulit namun di bahagian luar organ seperti jantung dan usus yang dikenali sebagai lemak visceral. Lemak visceral menyebabkan risiko serangan jantung. Paras kolesterol yang tinggi di dalam darah boleh menyebabkan saluran darah ke jantung dan otak tersumbat yang akhirnya menyebabkan serangan jantung dan angin ahmar.

Lemak yang berlebihan juga boleh menyebabkan kerosakan hati (fatty liver) di mana hati dipenuhi dengan lemak dan liver cirrhosis iaitu hati yang keras dan tidak berfungsi. Hati merupakan organ kumuh bagi lemak. Apabila berat semakin bertambah, sendi-sendi utama seperti lutut tidak dapat menampung berat dan mula mengalami sakit lutut. Obesiti yang berpunca daripada pemakanan yang tidak seimbang dan tiada senaman menyebabkan hormon endokrin yang tidak stabil.

Selepas makan makanan berkarbohidrat tinggi, paras gula meningkat secara mendadak. Organ pankreas akan mengeluarkan hormon insulin dengan banyak untuk mengawal gula dalam darah. Hormon insulin berfungsi memindahkan gula yang beredar di dalam darah ke dalam sel. Namun demikian, jika paras insulin sentiasa tinggi, badan akan mengalami insulin resistance iaitu suatu keadaan di mana insulin tidak dapat berfungsi dengan baik untuk menyimpan gula  seterusnya meningkatkan paras gula dalam darah dikenali sebagai diabetes atau penyakit kencing manis.


CARA CEGAH OBESITI
  • Elakkan makan berlebihan serta mengambil makanan bergula dan berkanji seperti nasi putih, roti, tepung dan mi. Pilihlah beras basmati, beras perang dan roti serat tinggi. Lebihkan protein seperti dada ayam, daging tanpa lemak dan ikan. Lebihkan sayuran dan buah-buahan seperti epal, oren, jambu batu, limau bali dan beri. Pilih makanan yang mengandungi indeks glisemik rendah.
     
  • Hadkan jumlah makanan di atas pinggan. Hadkan nasi sebesar genggaman bagi setiap hidangan. Hadkan protein sebesar tapak tangan bagi setiap hidangan. Selebihnya, penuhkan pinggan dengan sayur-sayuran.
     
  • Kurangkan penggunaan minyak sewaktu memasak. Gunakan kaedah stim, bakar atau rebus sewaktu memasak.
     
  • Tukarkanlah gula kepada stevia iaitu sejenis daun yang rasanya manis.
     
  • Bersenamlah selang sehari, lebih kurang 10-30 minit.
     
  • Berpuasa dua kali seminggu membantu mengekalkan berat badan dan merehatkan usus seketika.
     
  • Rehat yang cukup. Ibu yang bekerja perlu mendapatkan rehat dan tidur secukupnya. Tidur yang terganggu juga akan menyebabkan ketidakstabilan hormon dan obesiti.
     
  • Jika anda mengalami masalah obesiti, berjumpalah doktor bagi mendapatkan rawatan. Rawatan HCG jika digabungkan dengan pemakanan berkalori rendah dapat menurunkan berat badan. Namun, rawatan ini memerlukan pemantauan  doktor. Rawatan HCG bukan sahaja dapat mengurangkan lemak visceral, malah dapat menstabilkan hormon dari kelenjar pituitari.
     
  • Rawatan laser membantu mengeluarkan lemak dari sel lemak tanpa mematikan sel lemak tersebut. Pemilihan rawatan laser yang betul seperti kaedah 'Zerona' amat penting kerana kaedah lain seperti sedut lemak boleh menjadikan pengimbangan hormon menjadi huru-hara dan lemak berkumpul di tempat yang tidak diingini.
  • Cara terbaik untuk memulihkan Obesiti ialah dengan mengamalkan Sunnah Rasullah iaitu dengan cara berbekam.