KUALA LUMPUR : MIC kini berdepan dengan tanggungjawab politik yang getir dan berat untuk menggalas cabaran politik di negeri Perak menjelang pilihanraya umum ke – 13 yang dijadualkan akan didakan pada bila – bila masa dari sekarang. MIC menerima tamparan hebat di Perak pada PRU 2008 selepas kalah di 4 Dewan Undangan Negeri (DUN) serta gagal mempertahankan Parlimen Sungai Siput.
Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel yang mengambil – alih kepimpinan negeri tersebut daripada Datuk S. Veerasingham pada awal tahun ini kini berdepan dengan satu lagi tanggugjawab yang cukup berat untuk menentukan situasi politik MIC di negeri Perak sentiasa terkawal menjelang PRU ke – 13 yang bakal menguji kepimpinanya sebagai Presiden parti dan Pengerusi negeri.
G. Palanivel
MIC hanya dapat mempertahankan Parlimen Tapah menerusi kemenangan calonya Datuk M. Saravanan pada PRU 2008 , manakala bekas Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu sendiri tersungkur di Parlimen Sungai Siput yang diwakilinya sejak 1974.
Bagi kerusi DUN pula MIC kalah di ke- empat kerusi yang ditandingi iaitu di Sungkai , Hutan Melintang, Pasir Panjang dan Behrang. The Malaysian Times(TMT ) di fahamkan Presiden MIC G. Palanivel yang juga Menteri Di Jabatan Perdana Menteri telah mengadakan perjumpaan dengan Menteri Besar Datuk Seri Zamry Abdul Kadir pada minggu lepas dan menyatakan hasrat parti untuk bertukar dua kawasan DUN iaitu Pasir Panjang dan Behrang bersama komponen BN yang lain.
Ketika mempengerusikan mesyuarat MIC negeri Perak petang semalam Palanivel telah memaklumkan bahawa MIC akan bertanding di empat DUN pada PRU 13 , namun segala pertukaran kerusi tertakluk kepada pucuk pimpinan negara. TMT difahamkan , MIC berhasrat untuk bertanding di DUN Tronoh dan Buntong dan bersedia untuk membuat pertukaran dengan DUN Pasir Panjang dan Behrang .
TAPAH SELAMAT ; SUNGAI SIPUT ?
Berdasarkan situasi terkini TMT difahamkan , Naib Presiden MIC Datuk M. Sarawanan yang juga Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan sudah hampir pasti bertanding di Parlimen Tapah untuk penggal kedua manakala Setiauasaha Agung MIC Datuk S. Murugessan pula dikatakan akan bertanding di Parlimen Sungai Siput. Namun nama bekas Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk T. Murugiah juga turut dikaitkan dengan spekulasi sebagai salah seorang calon di Parlimen Sungai Siput ataupun mana – mana empat DUN di negeri Perak yang bakal ditandingi MIC kelak.
Sementara itu Timbalan Pengerusi MIC Perak Datuk R. Ganesan yang juga Speaker DUN Perak difahamkan hampir pasti akan bertanding di DUN Hutan Melintang selepas digugurkan daripada senarai calon pada PRU 2008. Ganesan merupakan bekas ADUN Sungkai selama dua penggal , dari 1999 hingga 2008.
R. Ganesan
TMT juga difahamkan Palanivel dijangka akan meletakkan muka baru untuk kerusi DUN untuk memberikan satu nafas baru untuk kepimpinan MIC negeri khususnya dari generasi muda yang berpengalaman dalam arena politik negeri Perak . Percaturan politik di negeri Perak bakal memberikan impak yang cukup besar kepada parti tersebut yang mempunyai lebih daripada 60 , 000 ahli MIC dan lebih daripada 161, 000 pengundi India yang berdaftar.
Berdasarkan kajian semasa yang dilakukan oleh TMT baru – baru ini , MIC mempunyai peluang yang cerah untuk mempertahankan Parlimen Tapah manakala bagi Parlimen Sungai Siput pula jentera parti perlu berkerja keras untuk memastikan kemenangan calon MIC dan akur dengan keputusan kepimpinan parti dalam soal pemilihan calon.
" Sekiranya tidak berlaku sebarang unsur sabotaj di Sungai Siput disebabkan soal calon peluang MIC untuk merampas semula Parlimen Sungai Siput amat cerah. Namun kita tidak boleh menafikan dan juga mengetepikan pengaruh Datuk Seri S. Samy Velllu di Sungai Siput. Beliau masih dilihat antara pemimpin yang popular dan mampu membawa pengaruh kepada parti di Sungai Siput. Suasana 2008 tidak boleh ambil kira lagi kerana banyak perubahan telah berlaku dalam tempoh masa empat tahun ini", kata seorang pemimpin politik dari negeri Perak kepada The Malaysian Times baru – baru ini.
Samy Vellu yang kini sudah bersara dari arena politik dikatakan mempunyai hasrat untuk meletakkan anaknya Vell Paari untuk bertanding semula di Parlimen Sungai Siput , namun baru – baru ini Vell Paari telah mengumumkan hasratnya tidak berminat untuk bertanding di PRU ke – 13 tetapi menyarankan kepada semua pihak memberi kuasa penuh kepada Presiden parti untuk menentukan senarai calon MIC.
Faktor calon merupakan salah satu aspek penting dapat menentukan kemenangan MIC dan calonya di negeri Perak pada PRU yang ke – 13 yang dijadualkan akan diadakan pada bila – bila masa kata bekas Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk T. Murugiah , ketika dihubungi TMT hari ini.
Antara faktor-faktor yang ditekankan oleh MIC dalam soal pemilihan calon katanya ialah faktor kewibawaan, integriti serta imej yang bersih sepertimana yang telah ditetapkan oleh Presiden MIC G. Palanivel dan yakin beliau akan memilih satu pasukan kemenangan yanmg terbaik untuk parti dan masyarakat India untuk PRU 13.
" Semua pihak tidak seharusnya memberikan sebarang tekanan kepada Presiden parti dan secara tradisi Presiden parti mempunyai kuasa mutlak untuk memilih dan mengugurkan nama mana – mana calon. Yang penting kita sebagai ahli MIC perlu berkerja keras bersama beliau untuk memastikan kemenangan BN dan MIC di negeri Perak ", katanya yang juga merupakan exco MIC negeri Perak.
Tags: featured, full-image
Category: Bahasa Malaysia News