ADA dua isu dibangkitkan BN membabitkan bakal calon Pakatan Rakyat bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Kajang iaitu berkempen awal dan menggunakan surau dan masjid untuk kempen politik.
Bukanlah sesuatu yang 'memeranjatkan' jika dua isu itu ditimbulkan BN guna memanaskan 'masa menunggu' PRK Kajang.
Selepas diisytiharkan sebagai calon PKR mewakili Pakatan Rakyat dalam PRK Kajang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menunggu lama untuk bertemu rakyat. Pelbagai program turun ke bawah diatur bagi tujuan itu. Ceramah 'hit and run' beliau mendapat sambutan dan isu yang diperkatakan beliau menjadi bahan berita di dada akhbar dan media sosial.
(Gambar kanan: Muhyiddin bersama para pemimpin BN di ruang solat Surau Al-Falah. Foto Utusan Online)
Bagaimanapun gerak kerja kempen bersifat proaktif ini tidak begitu digemari pemimpin Umno/BN. Maka pelbagai kritikan dihamburkan terhadap Anwar yang didakwa berkempen sebelum hari penamaan calon. Malah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan beberapa ahli akademik 'dipelawa' memberikan komen masing-masing.
Ketika Pengerusi SPR mengakui tidak mempunyai kuasa untuk bertindak terhadap bakal-bakal calon yang berkempen awal dan menyerahkan kepada polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk bertindak, ada ahli akademik yang berkata Anwar boleh hilang kelayakan menjadi calon jika didakwa di bawah Akta Perhimpunan Aman kerana berceramah tanpa kebenaran polis.
SPR pada 5 Februari lalu menetapkan hari penamaan calon PRK Kajang pada 11 Mac dan hari mengundi pada 23 Mac. Pengundian awal berlangsung pada 19 Mac.
Tindakan Anwar memberikan tazkirah di surau dan masjid sekitar Kajang juga mengundang rasa tidak puas hati pemimpin BN. Ada juga penduduk dan badan bukan kerajaan pro-BN yang membuat laporan polis berhubung majlis tazkirah yang disampaikan Anwar.
(Gambar kiri: Calon BN, Chew Mei Fun turut hadir di Surau Al-Falah bertemu pengundi. Foto Utusan Online)
Malah portal rasmi Kelab Penyokong Kerajaan BN (BNBBC) turut mengecam Anwar yang disifatkan tidak menghormati titah Sultan Selangor supaya masjid dan surau tidak dijadikan gelanggang politik.
Laman portal yang sama juga mempersoalkan Menteri Besar Selangor, tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang disifatkan gagal menyembahkan titah Sultan Selangor kepada Anwar.
"Tidak perlu ulas panjang, kerana titah Tuanku Sultan sudah jelas manakala Anwar memulakan kempen dengan mempertikai arahan Sultan Selangor.
"Pesan buat Anwar dan jentera kempennya: Masuk kandang kambing biar mengembek, masuk kandang harimau biar mengaum.
"... Dan Khalid sebagai Menteri Besar patut tahu arahan ini dan wajar menasihatkan Anwar jangan berkempen di masjid atau surau kerana tiada tauliah.
"Jika Anwar yang ingin bersultan dihati, teruskanlah kempen di masjid-masjid dan surau," bidas laman portal BNBBC lagi.
Bagaimanapun segala kritikan dan 'pantang' BN itu nampaknya terburai dengan kehadiran Timbalan Perdana Menteri merangkap Timbalan Pengerusi BN dan Timbalan Presiden Umno ke Kajang. Tan Sri Muhyiddin Yasin bukan sahaja berkempen awal dengan memperkenalkan calon BN bagi PRK N25 Kajang pada 25 Februari, malah majlis BN itu berlangsung di pekarangan Surau Al-Falah Bukit Dukong, Kajang – lokasi yang dianggap tabu oleh BN bagi kempen politik. Tidak sekadar itu, dengan kehadiran Muhyiddin, BN turut mengadakan majlis di dalam surau manakala calon BN dari MCA, , Datin Paduka Chew Mei Fun turut hadir di Surau Al Falah untuk berjumpa dengan para pengundi.
Muhyiddin ketika berucap berkata, BN mahu mengambil kesempatan dan peluang melalui sistem demokrasi untuk menyertai PRK Kajang.
Menyifatkan PRK Kajang sebagai ujian kepada pemimpin MCA yang baru dipilih, Muhyiddin menganggap PRK Kajang sebagai medan menguji pengaruh MCA yang disifatkan punya intergriti dan memperjuangkan hak semua kaum.
" Saya sedar kita bertanding sebagai underdog tapi semangat kita dan kesungguhan semua peringkat, mudah mudahan kita dapat sokongan. Apa pun masalah di sini tak jadi masalah. Kita akan lihat perkara itu. Kita akan bantu. Kita kena selesaikan tugas kita untuk berjaya di PRK ini," katanya ketika berucap di laman futsal Surau Al-Falah.
Pada majlis itu juga Muhyiddin turut mewarwarkan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar sebagai 'jeneral' BN bagi PRK Dun Kajang.
Dalam ucapannya juga, Muhyiddin turut menyerang rancangan Pakatan Rakyat untuk menjadikan Kajang sebagai batu loncatan ke Putrajaya.
"Dia ingat dia menang di Kajang dia boleh ke Putrajaya untuk jadi Perdana Menteri?" sindir Muhyiddin yang tentunya ditujukan kepada Ketua Umum PKR dan juga Ketua Pembangkang, Anwar.
Apa juga sindiran dan kecaman Muhyiddin kepada Anwar, BN nampaknya telah melanggar pantangnya sendiri di Kajang. BN nampaknya sudah berkempen awal dan menggunakan surau sebagai lokasi kempen.
Jika belum pun tiba hari penamaan calon, BN sudah pun 'cakap tak serupa bikin', bolehkan kita mengharapkan parti itu untuk melaksanakan janji-janji yang bakal dihamburkan sepanjang kempen PRK Kajang nanti?
Jawapannya terletak dihujung jari 39,278 pengundi Dun Kajang.