Darussyifa` yang ditubuhkan di Bangi sejak 1985, hari ini mengurniakan Ijazah bagi Kumpulan Ke 23 tahun 2011. Pengurniaan dilakukan oleh Ybhg Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din Pengasas Darusyifa`di Dewan Nik Mohyiddin Musa di sini pagi ini. Seramai 309 orang daripada 500 yang mendaftar bagi 2011 yang kebanyakannya lelaki dikurnia Ijazah. Hadir sama tetamu-tetamu jemputan antaranya YB Dr. Shafie Abu Bakar Adun Bangi, Ustaz Tuan Haji Abdul Rashid, Ustaz Abdul Aziz dan beberapa yang lain.
Sebelum pengurniaan Ijazah, majlis dimulai dengan pembacaan Al-Qur`an oleh pelajar Darussyifa`paling muda iaitu Ustaz Muhammad bin Ahmad Zahid yang juga seorang Hafiz. Tuan Haji Abdul Rahman Ahmad Pengerusi Persatuan Kebajikan Dan Pengubatan Islam (PKPI) memaklumkan bahawa graduan perlu menjalankan latihan di Pusat-Pusat Pengubatan Islam di mana-mana pusat di Selangor atau di luar Selangor yang sudah berjumlah 12 tempat, iaitu seperti di Kg. Baru, Kuala Lumpur, Teluk Panglima Garang, Jinjang, Rawang, Shah Alam, Kota Bharu, Kuala Terengganu, Sabah, Sarawak, Brunei, Kedah, Perlis dan sebagainya. Beliau mengingatkan agar para graduan mematuhi Etika Perawat sebagai mematuhi Etika Pengajian. Beliau juga menasihatkan ahli-ahli membeli barang-barang dari Koperasi bagi keseragaman.dan pelajar-pelajar diingatkan dengan pesanan Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din keperluan::
Berkemampuan mengikuti pelajaran - memiliki kecerdikan, suka kepada ilmu, mempunyai pendapatan, bersungguh, jangan cemburu terhadap rakan sepengajian, sabar menuntut ilmu, berhenti dari amalan pengubatan yang bercanggah dengan Islam, jangan melibat diri dengan ilmu tariqat menyeleweng dan bersedia menghadapi ujian dan cabaran. Pelajar-pelajar juga diingatkan dengan syarat-syarat utama menjadi perawat yang baik, iaitu iltizam dengan ilmu perubatan yang dipelajari, praktik dan berkhidmat secara sukarela, jangan campuraduk ilmu yang diharus dengan yang dilarang, ada keyakinan diri dan ikhlas, jangan melanggar etika Darussyifa` yang ditetapkan. Contoh tidak boleh menetapkan bayaran kepada pesakit, berdisiplin dalam semua hal - dalam pengubatan, kehidupan beribadat, berzikir dan seumpamanya.
Manakala prinsip rawatan Islam ialah ada penyakit ada ubat, Allah yang menjadikan penyakit, Dia juga menjadikan ubat. Kesembuhan milik Allah, manusia boleh berikhtiar, Al-Qur`an panduan bagi kesembuhan penyakit, do`a-do`a dan bacaan adalah ikhtiar dan diijma`kan harus dengan syarat baca al-Qur`an dengan betul, hendaklah diketahui makna dan beriktiqad Allah sahaja yang menyembuhkan, bahan-bahan hendaklah yang halal, tidak boleh berputus asa dari ikhtiar, beriltizam dan memhon kabul dan penyembuhan dari Allah.
Tuan Guru Dato` Dr. Harun Din dalam menyampaikan Taklimat menyatakan bahawa, ``Transformasi ilmu adalah detik yang penting dalam kehidupan seseorang pelajar.`` Tambahnya, `` Ilmu adalah dari Allah yang mengangkat seseorang di sisiNya. Jibrail datang menyampaikan ilmu kepada Rasulullah.`` Kata Tuan Guru,
``Setahun para graduan bertalaqqi musyafahah, setiap pelajar dikehendaki membaca satu persatu, tasmi`dan membaca melalui Talaqqi Jama`i Musyafahah dengan bersungguh-sungguh secara ingatan. Perlu memahami 33 asas – pra syarat dan syarat-syarat keperluan.`` Tuan Guru menyebut,
``Pelajar-pelajar di Bangi bernasib baik, kerana Ilmu Ruqyah Syar`iyyah diterima di Darussyifa` 95% adalah dari saya, manakala di negeri-negeri menerima secara talaqqi dari saya hanya 2 kali, iaitu bagi pembukaan dan penutup.`` Tuan Guru memberi penilaian grade kepada graduan-graduan pada kali ini pada tahaf mumtaz.
Berikutnya tiga pelajar memimpin pembacaan Ruqyah Asas Pengubatan Islam dari awal hingga akhir diikuti oleh yang lain secara ramai-ramai.
Pada peringkat puncaknya ialah seorang demi seorang naik ke pentas dikurniai Ijazah oleh Tuan Guru dengan lafaz:
``Saya ijazah kepadamu Perubatan Islam.``
Manakala yang menerima (qabul) mengucap:
``Saya terima Ijazah Perubatan Islam.``
Dengan saksi ialah hadirin. Kemdian Tuan Guru mendoakan:
``Barakallahu fi ma a`taituka (Lelaki) bagi perempuan hujungan (A`taituki).
Bermaksud, ``Allah memberkati dengan apa yang saya beri kepada engkau.``
Bagi lelaki Tuan Guru berjabat tangan, tetapi bagi perempuan dengan menekankan ubun-ubun atas kepala dengan tangan, sambil membaca doa di atas.
Selepas penyampaian ijazah, semua pelajar berdiri dan menyampaikan ikrar dengan mengikuti apa yang dibaca oleh pembaca teks ikrar yang disediakan secara mengangkat tangan bagaikan bersumpah.
Pada bahagian akhir ialah Penyampaian Amanat oleh Tuan Guru: Antara point-point yang disampaikan:
Dengan selesainya penyampaian ijazah beban dipikul diringankan oleh amanah yang diterima.
Makin berat amanah yang diterima makin besar ganjaran diterima
Semakin ikhlas tugas dilaksanakan makin tinggi pula pahala
Tidak ada yang lebih bagi seorang muslim kecuali saat-saat merasa kehambaan diri kepada Allah.
Kecil diri sebagai sebiji pasir di tengah padang pasir.
Banyak lagi asas yang perlu dipelajari
Tidaklah diberi kepada kamu daripada ilmu melainkan sedikit sahaja (Al-Isra`: 85).
Jagalah dari segi hafalan. Jangan lupa.
Ilmu bertambah dengan memberi dan berkurang dengan menahan
Pemberian menambahkan keberkatan
Antara tanda keberkatan semakin ramai pesakit datang
Ingatlah Ilmu Allah banyak. Ibarat pohon-pohon di bumi pena untuk mencatatnya dengan tujuh lautan bagai dakwat, kering laut tumpul kalam, ilmu Allah tidak berkurang (Luqman: 27).
Carilah ilmu dan berkhidmatlah dengan jujur.
Kesombongan merosakkan diri, ``Mereka hendak memperdayakan Allah dan orang-orang yang beriman, pada hal mereka hanya memperdaya dirinya sendiri, sedang mereka tidak menyedarinya. Di dalam hati mereka terdapat penyakit, maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya dengan sebab mereka berdusta (Al-Baqarah: 9-10).
Perlu perhubungan berterusan di kalangan pelajar yang kini melebihi 7,000 orang.
Perubatan Islam adalah ilmu, tetapi roh ilmu ialah zikrullah.
Perlu ikrar dan bay`ah sebagai rangkaian penerimaan.
Saya tinggalkan khazanah Darussyifa`. Kalau mati doakan saya, semoga ianya dikira sebagai sadaqah jariah - ``Ilmu yang memberi manfaat.
Sementara itu dalam perbualan penulis dengan Ustaz Rashid Guru di Darussyifa beberapa perkara diperbincangkan antaranya, kekurangan tempat di Darussyifa`dengan pertambahan pelajar. Perlu kepada kawasan yang lebih luas. Perlu ada semacam ward bagi pesakit-pesakit yang perlu tinggal untuk dirawat. Perlu kepada kepakaran dan kerjasama dengan pengajian tinggi dan lulusannya bagi meluaskan penyelidikan. Perlu kepada kawasan herba sebagai sumber perubatan. Perlu kombinasi perubatan yang melibatkan fizikal, mental dan jiwa. Perubatan Darussyifa dengan identitinya perlu diperluaskan, bukan setakat di Bangi, tetapi menjangkau pada peringkat nasional dan internasional. Perlu diwujudkan dana di bawah Lembaga Amanah bagi memperkembangkan Darussyifa` - koperasi yang ada asas bagi kerjasama ekonomi secara jamaah dan kursus yang bersifat perubatan biasanya memakan masa yang panjang, masa setahun terlampau minimum.
Majlis diakhiri dengan bergambar.
Sekian.