12 di jeram - Google Blog Search |
Perjanjian Anwar Dengan Pembesar Pahang <b>Di Jeram</b> Musuh Karam Posted: 18 Jun 2012 04:03 AM PDT Anwar Ibrahim mengharung cabaran arus deras dan jeram yang licin...memang Jeram Musuh Karam telah buat Anwar karam selepas peristiwa itu...sila baca sini. Anwar adalah ahli politik yang cemerlang boleh meyakinkan orang politik. Ini posting WZWH cerita bagaimana Anwar telah memukau para pembesar Pahang dengan perancangan politik beliau yang genius. Jika perancangan Anwar ini menjadi sudah tentu DS Najib tidak akan berada ditempat beliau sekarang. Maha genius Tun Mahathir telah mengagalkan perancangan Anwar dengan pembesar Pahang ini. Betapa ketika itu tidak ada kesetiaan orang politik Pahang kepada DS Najib. Orang politik Pahang mudah digula-gulakan oleh Anwar. WZWH teringat kembali 15 tahun dulu pada tahun 1998 buat pertama kalinya WZWH menjejakkan kaki di Jeram Musuh Karam dan Pos Lanai Kuala Lipis. Pada masa itu satu acara pertandingan kayak sedunia memudiki sungai di Kuala Lipis dari Jeram Musuh Karam hingga ke Kuala Medang. Pertandingan kayak sedunia itu dirasmikan oleh Anwar Ibrahim ketika itu TPM Malaysia. WZWH bergegas ke Kuala Medang dari Jerantut dan tiba pada waktu tengahari. Kemudian WZWH dan saudara Ezam Mat Nor, Setpol Anwar Ibrahim (MOF) berlepas mudik menaiki bot kecil menuju ke Jeram Musuh Karam. Perjalanan bot melalui salah satu sungai tercantik di Pahang melalui kampung-kampung Tradisional Melayu dan beberapa perkampungan orang Asli. WZWH diberitahu kampung Dato' Omar Osman, ADUN dan Ketua UMNO bahagian Kuala Lipis terletak di pedalaman sungai itu. Makin ke hulu sungai dengan menaik bot kecil, memecut atas air jernih Sungai Jelai. Semakin lama sungai semakin sempit diselungkupi hutan tebal. Tidak ada lagi kampung paling hulu dari kampung itu kerana sungainya semakin curam petunjuk muka bumi hampir dengan Tanah Rata Cameron Highland. Kami tiba di Jeram Musuh Karam pada lewat petang. Dato' Omar Osman telah siap menunggu di khemahnya. Peserta-peserta kayak antarabangsa dan orang kampung, juga ahli-ahli politik Pahang telah ada di situ.Setelah mandi manda, kami berehat, malamnya selepas makan kami bersembang politik sampai larut malam. Jeram Musuh Karam ini sangat jauh di pedalaman Kuala Lipis bersempadan dengan Cameron Highland. Orang Kuala Lipis pun tidak pernah sampai. Arwah Wan Mustapha Naib Ketua UMNO bahagian Kuala Lipis memberitahu WZWH bahawa beliau kali terakhir datang ke Jeram Musuh Karam pada tahun 1975. Pada esok harinya kami semua menunggu Anwar Ibrahim tiba dengan helikopter untuk merasmikan acara kayak sedunia ini. Ketika itu pembesar politik Pahang semua ada. Tun Khalil Yaakob MB Pahang, Dato' Hassan Arifin TMB, beberapa EXCO Pahang dan wakil rakyat. Kami semua menunggu di atas sebuah bukit. Kemudian helikopter yang membawa Anwar Ibrahim pun landing. Putaran kipas helikopter di atas bukit yang sempit telah menerbangkan debu-debu dan daun-daun kayu menyesakkan nafas. WZWH masih ingat lagi sewaktu Dato' Zainal SUK Pahang membuka payung besar melindungi Tun Khalil dari putaran debu, WZWH telah secara tiba-tiba masuk menunduk di depan Tun Khalil. WZWH minta maaf dan Tun Khalil hanya tersenyum. WZWH diberitahu pada masa itu boleh dikatakan 99% ahli politik Pahang menyokong Anwar Ibrahim melawan Tun Mahathir untuk jadi Perdana Menteri. Anwar menjanjikan Tun Khalil jawatan Timbalan Presiden UMNO. WZWH baru perasan, DS Adnan Yaakob, EXCO Pahang ketika itu tiada bersama. Beliau satu-satunya ahli politik Pahang yang berani tidak menyokong Anwar Ibrahim! Selepas acara perasmian Kayak Sedunia. Anwar Ibrahim bersama-sama peserta-peserta kayak menghilir Sungai Jelai. Berhenti sekejap di Pos Lanai. Akhirnya sampai ke Kuala Medang. Sejurus lepas itu, Anwar Ibrahim bergegas pula ke Tanjung Gahai. Tidak ada jambatan menuju ke Tanjung Gahai yang terletak di seberang sungai. WZWH terpaksa menaiki feri tangki besi untuk ke Tanjung Gahai. Ramai orang kampung menunggu kedatangan Anwar Ibrahim. Dalam ucapan alu-aluan, Dato' Omar Osman telah mendeklamasikan sajak memuji dan mengangkat Anwar Ibrahim pemimpin hebat masa depan negara. Anwar Ibrahim tidak lama berucap kerana terpaksa cepat balik ke Kuala Lumpur dengan helikopter kerana ada hal mustahak. WZWH masih ingat lagi Anwar Ibrahim ada menjanjikan sebuah jambatan perlu dibina di Tanjung Gahai bagi memudahkan orang kampung dan anak-anak pergi ke sekolah. Dato' Hassan Arifin mengiringi Anwar Ibrahim ke helikopter yang menunggu. Ada orang kampung membawa ikan kelah merah yang sangat besar juga menuju ke helikopter. Seminggu selepas itu, 2 September 1998, Anwar Ibrahim dipecat oleh Tun Mahathir dari kabinet! Maka perjanjian Anwar Ibrahim dengan para pembesar Pahang di Jeram Musuh Karam hanya tinggal perancangan dan kenangan nostalgia indah dalam ingatan WZWH. |
You are subscribed to email updates from di jeram - Google Blog Search To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan