12 di kuala kubu - Google Blog Search |
AzriFotoZoom Photo Collection - Kalau singgah <b>Kuala Kubu</b> Posted: 09 Feb 2008 07:33 PM PST Kenapa Kuala Kubu Bharu disebut Allahyarham Sudirman dalam lagunya, Joget Kenangan Manis?BAS lama ini kekal memberi perkhidmatan kepada penduduk setempat. KEPADA mereka yang pernah menonton filem arahan Afdlin Shauki, Baik Punya Cilok, anda mungkin masih dapat mengingati kedai pajak Tauke Wong yang menjadi lokasi penggambaran utama filem itu. Memaparkan suasana sebuah pekan lama yang tenang dan tidak sibuk sama ada dengan orang ramai mahupun kenderaan yang lalu lalang pada latarnya, pasti ada yang memikirkan penggambaran berlangsung di bandar Taiping, Perak, yang dikenali dengan identiti sebegitu. Sedangkan hakikatnya ia dirakam di sebuah bandar di daerah Hulu Selangor, iaitu Kuala Kubu Bharu, yang terletak kira-kira 65 kilometer ke utara Kuala Lumpur. Bandar ini mungkin tidak menjadi sebutan ramai, namun jangan pandang enteng kekuatannya sebagai destinasi pelancongan. Melayari Internet menggunakan kata kunci 'Kuala Kubu Bharu', beberapa laman web menyebutnya sebagai destinasi sukan ekstrem yang ideal kerana bentuk muka bumi serta landskapnya yang dilatari sungai dan air terjun. Air Terjun Chilling dan Air Terjun Serendah antara siri air terjun yang terpeta di sekitar bandar lama ini.
Sebagai bandar yang paling hampir dengan Bukit Fraser ia turut menjadikannya sebagai transit yang popular sebelum dan selepas berkunjung ke pusat percutian tanah tinggi itu. Bagaimanapun, itu bukanlah titik noktah kepada tarikan yang ada di sini. Menempatkan sejarah sebuah empangan yang pecah dan mengakibatkan banjir yang teruk sehingga melibatkan perpindahan penempatan, tragedi Kuala Kubu Bharu itu dikatakan bermula dengan kisah seekor buaya putih yang dibunuh Pegawai Daerah dan Majistret pertama Inggeris di daerah itu, Cecil Ranking. Rentetan daripada kejadian itu, penduduk setempat merasakan Kuala Kubu Bharu dihantui sumpahan si buaya yang menurunkan hujan setiap kali pekan itu menganjurkan acara besar-besaran, termasuklah pasar malam pada setiap 9 dan 29 haribulan. "Ia mungkin hanya kepercayaan orang dahulu yang diperturunkan dari generasi ke generasi. Tetapi sebagai seorang penduduk di sini, saya secara peribadi dapat memerhatikan relevan kenyataan itu," ujar Penolong Pegawai Penerangan Jabatan Perhubungan Awam, Majlis Daerah Hulu Selangor, Junainah Abdullah. Hari ini, Empangan Sungai Selangor terbina tegap lima kilometer dari pusat bandar. Dikendalikan sebagai Projek Skim Bekalan Air Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3), kedudukannya di kawasan tanah tinggi memberikan satu pemandangan yang memukau. Menyaksikan takungan air yang menyerupai sebuah tasik buatan itu dari kawasan lapang di sisi lebuh raya atau dari bukit bersebelahan, anda akan dapat merasakan ketenangan terutamanya tatkala angin berhembus lembut dan dingin. Meneroka pekan kecil yang dibina berpaksikan tapak perlombongan bijih timah ini, orang ramai akan dapat melihat bangunan-bangunan lama yang masih berdiri kukuh dan rancak beroperasi. "Berbanding 10 tahun lalu, salah sebuah pintu masuk ke negeri Pahang ini tidak banyak berubah. Yang berubah hanyalah pertumbuhan kawasan perumahan yang semakin banyak," tambah Junainah. Dan 'kelesuan' pekan ini dapat dilihat umpama pilihan penduduk setempat yang selesa dengan cara hidup sebegitu. "Memang ramai yang tidak mahu suasana ini berubah. Sebenarnya, kerana suasananyalah Kuala Kubu Bharu menjadi pilihan orang filem dan pembuat iklan untuk membuat rakaman, termasuk cerita Susuk. "Selain itu, ia pernah menjadi laluan kepada acara cabaran eko," katanya. Turut memetakan kedudukan ialah beberapa institusi pendidikan seperti Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Peretak, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kuala Kubu Bharu, sekolah tahfiz Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), dan Akademi Bomba, sekali gus menggambarkan bandar itu sebagai lokasi yang strategik untuk pembelajaran. Malah kalau diikutkan, selain Kuala Lumpur, Kuala Kubu Bharu adalah satu lagi nama tempat yang disisipkan dalam salah sebuah lagu dendangan Allahyarham Sudirman yang berbunyi: "Kalau singgah Kuala Kubu, tulis nama atas batu..." Nah, siapa kata Kuala Kubu Bharu tidak menjadi sebutan? |
You are subscribed to email updates from di kuala kubu - Google Blog Search To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan