Isnin, 3 Disember 2012

12 di tanjung sepat - Google Blog Search

12 di tanjung sepat - Google Blog Search


Kes Sosilawati: Peguam Tertuduh Keempat Tarik Diri | MyNewsHub

Posted: 03 Dec 2012 03:25 AM PST

SHAH ALAM – Perbicaraan kes bunuh Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain di Mahkamah Tinggi di sini dikejutkan dengan tindakan peguam Ravi Nekoo menarik diri daripada mewakili tertuduh keempat, R Kathavarayan.

Ravi memaklumkan kepada mahkamah beliau mengambil keputusan menarik diri atas alasan keterangan Kathavarayan di mahkamah berbeza daripada arahan yang diberikan tertuduh keempat itu kepada beliau sebelum ini.

Kathavarayan diperintah membela diri bersama N Pathmanabhan, 43, T Thilaiyalagan, 21, dan R Matan, 22, atas pertuduhan membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Ladang Gadong di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting antara jam 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, dalam pemeriksaan utama oleh Ravi, Kathavarayan berkata Pathmanabhan datang ke Ladang Gadong bersama rakannya kira-kira jam 7 petang pada 30 Ogos 2010.

Ini bercanggah dengan keterangan Thilaiyalagan dan Matan bahawa Pathmanabhan tidak datang ke ladang pada tarikh itu.

Pathmanabhan juga dalam keterangannya sebelum ini memberitahu mahkamah dia tidak berada di ladang antara 8.30 malam hingga 9.45 malam pada 30 Ogos 2010, iaitu tarikh dan masa kejadian bunuh itu didakwa berlaku.

Dalam keterangannya, Kathavarayan berkata, Pathmanabhan dan rakannya dilihat meninggalkan kawasan ladang kira-kira jam 8 malam hari yang sama, iaitu pada 30 Ogos 2010.

Ketika disoal Ravi sama ada Kathavarayan mengenali rakan Pathmanabhan, tertuduh keempat berkata dia mengenali dua atau tiga daripada mereka kerana pernah berjumpa sebelum ini.

Kathavarayan juga berkata, dia tidak mengetahui nama rakan bekas peguam itu tetapi mengetahui mereka berbangsa Melayu, India dan Cina.

"Berapa orang Melayu, Cina dan India?," soal Ravi.

"Melayu kira-kira lima orang, Cina dan India seorang," jawab tertuduh keempat.

"Bagaimana mereka datang ke ladang?," soal Ravi.

"Dengan menaiki tiga kereta tetapi saya tidak ingat warna dan jenama kereta," jawab Kathavarayan.

"Ke kawasan mana mereka pergi ketika berada di ladang?," soal Ravi.

"Bila sampai mereka memarkir kereta berhampiran pondok di depan rumah saya, kemudian, mereka telah bersembang di bilik rehat," jawab tertuduh keempat.

Ravi kemudian memohon kes ditangguhkan sebentar sebelum pihak pendakwaan dan pembelaan dilihat memasuki kamar hakim.

Sejurus mahkamah kembali bersidang, peguam itu memaklumkan Hakim Datuk Akhtar Tahir bahawa beliau tiada pilihan selain menarik diri daripada mewakili Kathavarayan berdasarkan keterangan tertuduh keempat.

Akhtar kemudian membenarkan permohonan Ravi dan menasihatkan tertuduh keempat melantik peguam, kecuali jika dia tidak mahu diwakili.

"Pohon kes ditangguh sampai petang untuk saya buat keputusan. Saya ingin beri keterangan tanpa peguam saya," kata Kathavarayan.

"Baiklah, saya beri masa sehingga esok untuk kamu fikirkan sama ada kamu ingin melantik peguam, dan siapa peguam itu, serta sama ada kamu ingin mahkamah melantik peguam untuk mewakili kamu," kata Akhtar.

Beliau turut memerintahkan Kathavarayan diasingkan daripada tertuduh lain sehingga tertuduh keempat selesai memberi keterangan. – BERNAMA

Iklan Teks:

PERINGATAN: Mynewshub tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ads