12 di padang jawa - Google Blog Search |
Roketkini.com >> “Kampung Seni” <b>Padang Jawa</b> jadi ikon usaha <b>...</b> Posted: 05 Jun 2013 09:33 PM PDT "PADA mulanya masyarakat kampung agak janggal dengan cadangan saya…" – Aisyah Baharuddin, Artis TEMBOK kelabu yang kusam, comot dan berdebu sudah hilang. Dinding pagar yang warnanya luntur, sudah pun berubah wajah. Pemandangan menyakitkan mata dengan lambakan tempelan poster ubat kuat, urut batin, pinjaman wang yang terpamer sepanjang tembok jejantas dan laluan jalan atas sudah ghaib. Semuanya digantikan dengan karya lukisan mural dan grafiti oleh artis, anak-anak muda dan kanak-kanak sekitar yang peduli pada lingkungan mereka. Dua kampung yang menjadi titik temu sempadan bandaraya Shah Alam dan Klang telah menjadi saksi bangkitnya sebuah gerakan seni untuk masyarakat. Kampung Padang Jawa dan Kampung Karuppiah (kejiranan Padang Jawa) melakar sejarahnya tersendiri. Anak muda peduli pada lingkungan Gerakan seni ini dipelopori oleh sebuah komuniti seni yang dinamakan T.I.G.A bermaksud Tindakan Gerak Asuh. Ia diasaskan oleh Aisyah Baharuddin, seorang graduan Ijazah Sarjana Muda Seni Halus daripada UiTM bersama dua lagi teman iaitu Mohamad Idham Ismail, graduan Unisel yang menamatkan pengajian dalam jurusan Senireka Grafik dan Farhana Mohd Tajali juga graduan Ijazah Sarjana Muda Seni Halus UiTM. Aisyah merupakan tunjang utama T.I.G.A berpengalaman luas dalam bidang seni lukis, mural, seni persembahan dan hampir 15 tahun menceburkan diri sepenuh masa dalam aktiviti seni malah beliau acap kali menyertai pameran lukisan yang diadakan di seluruh negara. Hingga setakat ini, komuniti T.I.G.A yang beroperasi di Pusat Sekitar Seni, Kampung Karuppiah berjaya memimpin kanak-kanak dan remaja kejiranan ini untuk turut serta meraikan kepelbagaian seni dan menambah kemahiran mereka dalam bidang seni lukis. Hujung minggu bagi anak-anak ini tidak lagi menjadi satu hujung minggu yang membosankan dengan tayangan Sponge Bob yang diulang-ulang. "Kampung seni pertama di Selangor" Siapa sangka, kejiranan Padang Jawa mencatat sejarah pada 23 Mac 2013 lalu apabila sebahagian besar dinding tembok dan pagar rumah laluan utama dilakar dengan pelbagai bentuk lukisan mural dan grafiti berwarna-warni membawa mesej sivik mengangkat tema alam sekitar dalam Festival Seni Jalanan Padang Jawa atau lebih dikenali sebagai Padang Jawa Street Art Festival 2013 (PJSAF). Tema alam sekitar dengan mempromosikan aktiviti kitar semula dan menjaga kebersihan amat bersesuaian dengan implementasi dasar hijau Kerajaan Negeri Selangor mahu pun Kerajaan Persekutuan. Atas usaha gigih komuniti ini, kini kejiranan Padang Jawa sudah digelar orang sebagai "Kampung Seni". Menurut Pengarah PJSAF, Aisyah Baharuddin, festival sebegini merupakan julung-julung kali diadakan dalam kejiranannya itu dan beliau tidak menolak kemungkinan ianya adalah yang pertama kali dianjurkan di Selangor. "Idea untuk menjalankan festival ini timbul apabila melihat kepada persekitaran kampung dan berasa 'sakit' dengan pemandangan tembok yang banyak ditampal dengan 'iklan haram'. "Saya fikir, dengan kemahiran yang ada bersama teman yang lain, mungkin kami boleh lakukan sesuatu untuk kampung dan masyarakat di sini," ujar Aishah ketika ditemui baru-baru ini. Ditanya mengenai sumber kewangan dan peralatan, pengasas T.I.G.A itu berkata mereka mendapat tajaan dari syarikat swasta, Nippon Paint (M) Sdn Bhd dan kerajaan melalui Dana Belia 1Malaysia. PJSAF turut mendapat kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Padang Jawa, Balai Seni Visual Negara (BSVN), Komuniti Buku Jalanan, Media Legal dari Jakarta, gabungan artis tempatan seperti Escape, Medea Project, dan beberapa individu artis yang lain. Langit petang yang suram dengan hiruk-pikuk kenderaan pulang dari kerja di tempat lain tidak lagi sama dengan kejiranan Padang Jawa. Di balik deruan enjin kenderaan, waktu petang di sini menjanjikan pemandangan yang berbeza. Atas usaha gigih T.I.G.A yang mendapat kerjasama baik penduduk kampung, JKKK dan kelab belia sekitar, kini, kejiranan Padang Jawa bertukar wajah dan boleh diangkat sebagai sebuah destinasi pelancongan. Sebuah 'perkampungan seni' buat pertama kalinya dalam sejarah negeri Selangor. Mengukuh perpaduan kaum melalui aktiviti melukis Kedudukan kawasan kampung yang terletak di antara dua bandar ini menjadikan ianya satu kawasan campuran pelbagai kaum dengan penempatan komuniti Melayu, India dan Cina. Bagi Aisyah, selain mendidik masyarakat mengenai peri-pentingnya menjaga kebersihan dan persekitaran, PJSAF yang berlangsung selama tujuh hari itu telah merapatkan lagi hubungan antara masyarakat pelbagai kaum di sini. "Kami menerima sokongan penduduk kampung dan ketika festival ini berlangsung, kami dapat lihat bagaimana masyarakat sekitar terutama remaja dan kanak-kanak berlainan kaum dapat berinteraksi dan melakukan aktiviti bersama-sama. "Biasanya, aktiviti majmuk sebegini cuma dapat dilakukan di sekolah atau padang bola sahaja," ujar Aisyah. Beliau berpendapat, usaha untuk memasyarakatkan seni ini harus terus mendapat sokongan penduduk, masyarakat sivik atau kerajaan dalam menjamin satu kerangka untuk mendidik masyarakat melalui seni sekaligus merapatkan jurang perbezaan antara kaum. Meluaskan aktiviti komuniti untuk masyarakat Walaupun PJSAF telah berlalu, T.I.G.A masih giat meneruskan aktiviti kesenian mereka dengan memperbanyakkan lagi lukisan mural dan grafiti dengan pembabitan remaja dan anak-anak muda setempat. "Selain melukis, kita juga membuat kelas membaca secara percuma untuk kanak-kanak yang dijalankan di pusat komuniti kami di sini (Pusat Sekitar Seni) hampir setiap hujung minggu," jelas Aisyah. Katanya, T.I.G.A turut merancang memperluaskan lagi aktiviti mereka seperti penganjuran bengkel percuma seperti bengkel penulisan, lukisan, asas fotografi dan sebagainya. "Pusat Sekitar Seni ini mempunyai ruang yang selesa dan cukup untuk menjalankan aktiviti dalaman dan kita berharap masyarakat kampung terutamanya golongan remaja dan kanak-kanak mendapat manfaat," kata beliau. Bagi seluruh penduduk di Shah Alam mahu pun di seluruh negara, usaha komuniti ini dalam memasyarakatkan seni perlu menjadi perhatian dan diberi sokongan samada dalam bentuk peralatan atau kewangan. Di akhir perbualan kami, Aisyah menegaskan bahawa hasil karya seni tidak hanya eksklusif di galeri yang jauh daripada masyarakat. Seni juga harus memasyarakat dan dimasyarakatkan. "Seni perlu memberi sumbangan dalam membentuk sebuah persekitaran kejiranan yang ideal dan kukuh," katanya. T.I.G.A boleh dicapai dalam talian di [email protected] atau melalui www.facebook.com/streetartfest2013pdgjawa atau terus hubungi 013-6613243 (Aisyah Baharuddin) |
You are subscribed to email updates from di padang jawa - Google Blog Search To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan