Isnin, 10 Mac 2014

12 di sepang - Google Blog Search

12 di sepang - Google Blog Search


Fantasi Itu Duniaku: Dua detik <b>di</b> Gold Coast Palm Tree, <b>Sepang</b>

Posted: 10 Feb 2014 06:32 AM PST

Aku rasa tak perlu memulakan entri kali ini dengan mukadimah panjang. Maklumlah, tarikhnya pun sudah agak ketinggalan. Nak mengisi tepat pada waktunya, memanglah mustahil. Bukan kerana aku malas, tetapi (ayat klise) terlalu banyak perkara yang perlu disudahkan terlebih dahulu. Antaranya, tugasan aku sebagai editor (2 majalah, alhamdulillah) dan penulis sampingan (manuskrip yang kian menimbun tanpa tarikh mati) serta pengendali (admin) untuk beberapa laman usahasama dengan teman-teman di ruangan sosial (FB, Google+ dan Twitter).

Kenapa perlu diriwayatkan semua aktiviti aku di pembukaan entri? Tidak. Niat aku bukan untuk riak mahupun bongkak tetapi sekadar untuk memberitahu kepada sekalian manusia di luar sana (khususnya mereka yang bermulut manis tetapi berbongkah-bongkah kutukan di dalam hati). Aku terpaksa ketepikan aktiviti yang memang tidak serasi dengan jiwa mahupun sanubari. Keutamaanku adalah keluarga dan sesekali kehendak diri sendiri. Selain dari itu, jika aku gagal mentafsirkan kepentingan sesuatu aktiviti dengan merisikokan wang, tenaga dan waktu maka bukan sukar untuk aku mengasingkan diri. Aku tak boleh memenuhkan kehendak dan permintaan setiap orang. Terserah juga kepada kalian sama ada boleh menerima dan menghormati keputusan aku (menerima dan menghormati ada banyak bezanya ya!) atau membenci. Jujurnya, aku tidak kisah!

Baiklah, berbalik kepada tujuan asal entri ini, ia bukanlah sesuatu yang dirancang sehari dua. Malah, penganjurnya (siapa lagi kalau bukan Along) telah mencanangkan idea ini sejak tahun lepas (sudah menjadi lumrah keluarga kami, rancang setahun lebih awal terutama sekali untuk tarikh-tarikh istimewa, kalau berniat mahu langgar dipersilakan dan jangan pula mengharap kami tunduk serta ya!) Kebetulan pula tarikh kelahiran puteri sulung yang juga anak bongsunya (buat waktu ini) Mysarah, hampir dengan beberapa ahli keluarga yang lain termasuklah aku.
Bagi memudahkan dan mengurangkan aktiviti keluarga tahun ini (ada penambahan aktiviti berbanding tahun-tahun lalu) hari lahir kami dilakukan sekaligus. Antara mereka yang terlibat semestinya Mysarah yang lahir pada 23 Januari, diikuti Ayuz pada 27 Januari, aku (kalian tahu-tahulah sendiri) dan abang iparku, Zamri yang lahir pada 11 Februari! Destinasi yang dirancangkan (termaktub dalam jadual tahun 2014 disediakan Shahaizah Azlin; Alonglah tu) pula adalah Gold Coast Palm Tree di Sepang.
Awalnya, umi dan aku kurang bersetuju kerana kami berdua memang masih lagi fobia dengan tragedi Tsunami yang pernah melanda Malaysia di satu ketika dahulu. Lebih membimbangkan apabila, terlalu banyak desas-desus dan khabar angin yang mengatakan kemungkinan peristiwa ini akan berulang dalam masa terdekat. Ya. Memang salah kami (aku dan umi) kerana terlalu banyak memikirkan perkara negatif. Dalam perasaan yang bercampur, diturutkan juga. Lagipun, bila masanya lagi akan dapat kami merasakan kehebatan Gold Coast Palm Tree (gabungan penyalinan semula penempatan mewah di Dubai; Jumeriah Palm dan kawasan peranginan Maldives Centara Grand Island Resort & Spa. Tambahan pula, Along ada mengatakan tempat penginapan kami bukanlah di bahagian dahan (tengah laut) sebaliknya di bahagian batangnya (persisiran).
Sebagaimana sambutan ulangtahun yang pernah diraikan keluarga kami, kali ini juga turut dimeriahkan lagi dengan tema khusus bersesuaian dengan Mysarah. Ya, tema yang dikenakan untuk sambutan ini pula adalah Alice In Wonderland. Demi memastikan semuanya berjalan dengan lancar, pelbagai persiapan diaturkan. Ini termasuklah gegelung tiara buatan tangan untuk dipakai para gadis (amboi), manakala jejaka pula cukuplah setakat berpakaian kemas ala-ala Inggeris.
Tiba hari dinantikan, masing-masing girang tanpa dapat digambarkan dengan kata-kata. Kegembiraan segera pudar dalam hati dua insan (aku dan umi) digantikan kerisauan yang bukan kepalang apabila mengetahui, rumah yang diduduki selama dua hari tersebut berlokasi di bahagian dahan (tengah-tengah laut). Aku pandang umi dan umi pandang aku. Jujurnya, aku tidaklah risau sangat tentang kedudukan sementara kami sebaliknya hati tertinggal di dalam perut Lolly kerana kecuaian meninggalkan Baby Boy (BlackBerry) di situ. Hahaha.
Nak bertapak semula ke pusat buggy memang tak larat. Maklumlah, aku agak malas nak berjalan. Jadi, dalam kegusaran aku memujuk hati agar Baby Boy baik-baik sahaja bersama Lolly tanpa disedari kehadirannya. Aku yakin para pekerja Gold Coast Avani ini amanah orang-orangnya. Ditambah pula diletakkan di bawah jagaan pihak Avani 24 jam, kurang juga risaunya.Cuma aku agak bersimpati dengan umi kerana murung. Setiap saat matanya pasti melirik ke luar jendela. Memerhati aras air laut sama ada sudah mencecah lantai atau ombak bergelora ganas. Along pula berduet bersama abah tidak henti-henti menyakat umi.
Oh ya, sekadar perkongsian info; penginap boleh menikmati kemudahan tempat letak kereta bersama perkhidmatan jockey di dalam kawasan Gold Coast Palm Tree ini dengan bayaran dikenakan sebanyak RM20.00. Sekiranya penginap mahu keluar bayaran RM10.00 dikenakan. Hari berikutnya, jika penginap membawa kereta keluar bayaran baru dikenakan. Selain itu, penginap juga boleh meletak kereta di kawasan luar dan perlu menunggu van khas yang membawa masuk penginap ke dalam kawasan ini.
Demi menghilangkan kegusaran, aku mula bertindak gila; tak diam setempat dan asyik melompat-lompat, terjun tiruk di atas katil yang empuk. Melihat aksi gila sawan aku itu, anak-anak buahku yang lain turut serta terutama sekali Miqhail dan Mierza serta diikuti si kecil Firzudeen Aqashah yang sesekali mengacau bonda (Ayuz) dan babanya (Firdaus) yang sibuk membuat persiapan hiasan untuk majlis malam nanti. Ya, sambutan ulangtahun kami. Biar sederhana dan hanya disambut ahli keluarga kami sahaja kerana yang penting; gembira dan bahagia!

Sebelum menunggu detik itu tiba, kami keluar sebentar meninggalkan Gold Coast Avani dan bergerak ke restoran yang sememangnya terkenal di kawasan ini; HM Sri Bagan Seafood Restaurant. Sementara menunggu makanan sedia terhidang, sempat juga menikmati pemandangan alam yang indah kurniaan Allah. Alhamdulillah. Walaupun sudah ada pembangunan tetapi keindahannya masih tidak tercela. Istimewanya restoran terapung ini selain berada di persisiran pantai, para pelanggan berpeluang memilih makanan laut yang segar-segar. Apa yang sudah dihajatkan di hati? Lampiaskan sagaja di sini. Sotong, ketam, udang, ikan-ikan laut masin dan macam-macam lagilah. Disebabkan itu juga, meja makan keluarga kami penuh malam itu. Bernafsu sungguh. Cuma yang tidak tersenarai dalam menu kami; kangkung belacan. Hahaha.

Selesai mengisi tangki perut masing-masing yang aku percaya masih mempunyai kapasiti berlebihan, bergeraklah semula kembali ke tempat penginapan kami tetapi sempat juga singgah di kedai runcit untuk membeli makanan ringan. Bekalan di waktu malam. Sebaik tiba di penginapan kami, hati tak berhenti memanjatkan syukur. Ya Allah, sesungguhnya aku bersyukur kerana berpeluang berehat sehari dua di sini. Sekurang-kurangnya, hilang segala rasa yang mendesak otak untuk berfikir. Bebas. Hari itu juga, dengan sengaja aku mematikan segala penerimaan data internet. Tidak mahu gangguan; penting atau tidak. Aku tidak mahu sebarang gangguan. Ini waktu untuk aku dan keluarga. Selain darinya, boleh tunggu. InsyaAllah.

Sampai di rumah (penginapan), masih ada beberapa jam sebelum diteruskan dengan aturcara seterusnya. Ketika inilah masing-masing bebas melakukan aktiviti yang terbuku dalam hati. Along dan abang Zamri memilih untuk ke gim, Ayuz dan Firdaus bersiar-siar bersama basikal di sepanjang Gold Coast ini. Aku? Memanjakan diri di dalam tab mandi sambil berhibur dengan lagu-lagu merasuk jiwa. Tak puas berendam, aku bermandi pancuran pula. Ah, bahagianya. Si anak-anak kecil? Ada yang sibuk melayan permainan komputer (iPad/tablet) ada pula yang mengikut ibu bapa masing-masing. Umi dan abah? Umi cuba menenangkan jiwa dengan tidur sejenak (cuba melupakan yang dia kini berada atas air), abah pula layan pemandangan. Hehehe. Tenang dan aman katanya.

Tepat pukul 10 malam (terpaksa dicepatkan sejam lebih awal, gara-gara Mysarah yang sudah hampir terlelap), maka kami pun bersedia dengan aturcara makan kek! Kalau diikutkan, aku mahu menyediakan pulut kuning sekali kerana tarikh 29 Januari merupakan ulangtahun pernikahan umi dan abah tetapi umi keberatan. Tidak mahu memadatkan aturcara yang sedia padat! Benar juga kata-kata umi itu dan aturcara makan kek pada malam itu ternyata sangat meriah dengan riuh rendah kegembiraan, hilai tawa kami sekeluarga. Macam yang aku katakan di awal tadi, bilangan tidak penting tetapi nilai kebahagiaan adalah segala-galanya. Ya, kami bahagia. Diharapkan kebahagiaan ini berkekalan dan diteruskan pula generasi selepas kami; Miqhail, Mierza, Firzudeen Aqashah, Mysarah dan yang seterusnya.
Sebaik sempat menyelesaikan aturacara terakhir, si anak-anak kecil terkulai di pangkuan. Barangkali keletihan sepanjang hari. Dengan terlelapnya mereka, golongan 'tua-tua' turut mencari bantal dan tilam masing-masing untuk beradu. Memandang atap dari rimbunan lalang, 1,2,3.... zzzzzzz.


Suara tangisan yang mengetuk gegendang, membuatkan aku terjaga. Siapakah yang menangis sayup-sayup pagi-pagi buta ini. Aku melihat skrin Baby Boy, sudah pukul 6 pagi. Tangisan itu semakin kuat dan kelihatan Along bergerak masuk ke dalam bilik; "Mysarah dah bangun!" Oh, tangisan Mysarah rupanya. Tangisan si Mysarah juga membuatkan aku sedar, umi tidak lelap tidur. Aduh, kasihan sungguh umi. Masih bimbang yang kami sedang beradu di atas air. Mata yang tadi kabur, kian menjadi jelas apabila melihat aras air menerusi jendela kaca. Pantas aku keluar, membuka pintu dan terus di sapa sinaran mentari pagi. Tanpa buang masa, tangan mencapai kamera (telefon bimbit) untuk mematrikan pemandangan yang indah ini semoga dapat dikongsi bersama.


Sementara aku sibuk bergambar sakan, mereka yang lain keluar melakukan aktiviti masing-masing. Along dan abang Zamri bersarapan bersama anak masing-masing (Mierza dan Mysarah) di kafe Avani. Manakala Ayuz dan Firdaus bersama Aqashah bersarapan dan bergambar di seluruh kawasan penginapan. Paling seronoknya, mereka ada yang berbasikal dan juga bersukan! Hahaha. Cuma Miqhail yang tidak mahu ikut, dia lebih selesa bersarapan di rumah bersama aku, wan dan juga atuknya. 

Mungkin ramai yang tidak tahu, tetapi aku memang suka mengambil gambar. Bezanya, aku tidak memiliki sebarang kamera mahupun DSLR kerana ia masih lagi belum tersenarai dalam keperluan ataupun kehendak. Hahaha. Jadi, menumpang sahaja sesiapa yang ada sudah mencukupi. Apabila kamera DSLR kepunyaan Ayuz ditinggalkan, maka aku mula meroyan mengambil gambar-gambar umi dan abah dengan latar belakang 'romantika'. Comel juga melihat gaya umi dan abah bersama. Pantas teringat bibit-bibit awal pertemuan mereka berdua yang seringkali aku dengar dan tidak pernah jemu mendengarnya berkali-kali.
Malangnya, sangat pantas masa berlalu. Ya, kami bersiap-siap untuk pulang kembali ke habitat asal. Sebelum meninggalkan Gold Coast, sempat kami merakam kenangan. Hmm. Bilakah lagi agaknya dapat kaki terjejak di sini? InsyaAllah. Mungkin dengan si dia pula? Hahaha.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ads