Jumaat, 9 September 2011

12 di jeram - Google Blog Search

12 di jeram - Google Blog Search


! Namaku Intan: Tenggelam dua kali <b>di Jeram</b> Linang

Posted: 18 Jul 2011 06:27 AM PDT

MACHANG: Perkelahan seorang remaja lelaki bersama bapa saudara dan tiga rakan di Hutan Lipur Jeram Linang di sini, bertukar tragedi apabila maut selepas tergelincir dan lemas ketika mandi di kawasan itu, kelmarin.

Dalam kejadian jam 5 petang, Muhamad Azrul Nizam Zainal Abidin, 20, yang tergelincir cuba diselamatkan bapa saudaranya, Zulkifli Derahim, 21, namun usaha itu gagal sebelum mangsa tenggelam di dasar sungai sedalam kira-kira empat meter.

Mayat mangsa berasal dari Kampung Aril, Pauh Lima, Bachok ditemui terlentang di dasar sungai jam 7.10 malam selepas mendapat bantuan sepasukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat dari Unit Skuba Kota Bharu diketuai Shahril Yusma Mat Yusoff.

Sebelum itu, mangsa dikatakan tiba di kawasan perkelahan itu jam 4.30 petang bersama Zulkifli serta tiga rakan sekampung, Mohamad Atifi Mohd Nazir, 20; Mohd Syafiq Mohd Ismail, 20, dan Zamri Mustapha, 19, menaiki motosikal.

Tidak sampai setengah jam kemudian, perkelahan itu menjadi mimpi ngeri sebaik mangsa tenggelam menyebabkan Zulkifli terpaksa berhempas-pulas cuba menyelamatkan mangsa. Namun, usahanya gagal sehingga mangsa ditemui terdampar di dasar sungai, dua jam kemudian dan mayatnya dihantar ke Hospital Machang untuk dibedah siasat.

Zulkifli berkata, sebelum kejadian, dia sudah menasihatkan anak saudaranya itu supaya tidak mandi di bahagian tengah sungai berikutan keadaannya agak dalam.

"Selepas mandi di kawasan gigi air, arwah beredar ke kawasan aliran air terjun sebelum tergelincir lalu terjatuh," katanya ketika ditemui di bilik mayat HM, kelmarin.

Katanya, terkejut melihat keadaan itu, dia bersama Mohamad Atifi dan Mohd Syafiq terus terjun untuk cuba menyelamatkan mangsa.

"Saya nekad kerana tidak sanggup melihat arwah meronta-ronta ketika kami bertiga cuba mengheretnya ke tepi batu, namun dia terus tenggelam.

"Tanpa menghiraukan keselamatan diri, saya terus menyelam ke dasar sungai sebelum berjaya membawanya naik ke permukaan air, namun, arwah tenggelam kali kedua selepas tangan saya terlepas daripada pegangannya," katanya.

Menurutnya, menyedari air terlalu dalam, selain sejuk dan cuaca semakin gelap, dia terus meminta Zamri segera menghubungi pihak berkuasa.

"Walaupun gagal menyelamatkan arwah, saya bersyukur kerana jenazahnya ditemui di dasar sungai dalam keadaan terlentang oleh anggota penyelamat," katanya.

Katanya, anak saudaranya yang sebelum ini menetap di Johor bersama ibu bapanya, Zainal Abidin Saali, 40-an dan Noriah Derahim, 40-an baru tiba di rumah neneknya, Rahimah Mat Yazid, 60-an di Kampung Aril, pagi Jumaat lalu.

Menurutnya, Muhamad Azrul bekerja sebagai juruwang di sebuah pasar raya di Johor Bahru dikatakan berhasrat mencari peluang pekerjaan di negeri kelahirannya.

"Saya terkilan kerana hasrat arwah bekerja di sini tidak kesampaian, selain sedih arwah turut tidak berkesempatan menyambut kedatangan Ramadan bersama neneknya.

"Arwah yang juga anak sulung daripada lima beradik tidak menunjukkan perubahan kecuali beberapa minit sebelum kejadian kerana beriya-iya mengajak Atifi dan Zamri menemaninya membeli jeans buat kali terakhir di Rantau Panjang, Sabtu depan," katanya.

Sementara itu, Ketua Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Machang, Nordin Yahya berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 6.15 petang dan tiba di kawasan perkelahan itu, setengah jam kemudian.

"Gerakan mencari mangsa disertai 17 anggota termasuk Unit Skuba, Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Pasir Puteh.

"Mangsa ditemui terdampar di dasar sungai, kira-kira jam 7.10 malam," katanya.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Malik Bedut mengesahkan kejadian itu dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Harian Metro 18 Julai 2011

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ads