Perlumbaan akhir Kejuaraan Kenderaan Touring Malaysia (MTC) yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang baru-baru ini menyaksikan pasukan lumba Proton R3 mendominasi dari awal.

Dua pelumbanya, Syafiq Ali yang memandu PROTON Gen2 dan Faidzil Alang yang memandu Satria Neo bermula cemerlang pada sesi kelayakan, menempatkan kedua-duanya di petak paling hadapan.

Sejurus perlumbaan bermula, mereka terus menguasai perlumbaan 10 pusingan tersebut dan berakhir dengan tempat pertama dan kedua. Siah Wy Pyng yang juga memandu Satria Neo R3 mendapat tempat ketiga.

"Keputusan ini bukan sahaja menunjukkan kemampuan daya saing Gen2 dan Satria Neo di litar tetapi juga memperlihatkan komitmen PROTON untuk menjadi lebih bagus," kata Ketua Proton Motorsport, Datuk Abdul Razak Dawood. – BH Auto, 3 Oktober 2011.