SUBANG JAYA - Licik apabila segelintir individu dikesan membuat kutipan derma dengan menyalahgunakan nama Persatuan Kebajikan Kanak-kanak Kurang Upaya Subang Jaya (P3KU) di beberapa pusat beli-belah sekitar Subang Jaya dan Kuala Lumpur sejak awal April lalu.

Difahamkan, persatuan berkenaan melancarkan projek 'Running The Sahara' untuk kanak-kanak istimewa bagi mengumpul dana sebanyak RM100,000 bagi membuka sebuah pusat latihan untuk golongan kurang upaya berkenaan.

Risalah kutipan derma yang diedarkan di sebuah pusat beli-belah di Subang Jaya di sini bagaimanapun didakwa dipergunakan segelintir individu untuk mengutip derma secara tunai.
Timbalan Pengerusi persatuan itu, Lee Seok Khin berkata, beliau dimaklumkan mengenai perbuatan itu, 11 April lalu oleh seorang ahli jawatankuasa persatuan.
Katanya, dia dimaklumkan ada pihak menyamar sebagai ahli persatuan mengutip derma di sebuah pusat beli-belah di Seri Petaling.
"Saya terkejut kerana kutipan derma dilancarkan pada 3 Mac lalu hanya boleh dibuat penderma melalui bayaran cek atas nama persatuan bukan secara tunai.
"Malah kita sudah berhenti meraih dana kerana kutipan yang diperoleh untuk mewujudkan pusat latihan kepada pelajar kurang upaya sudah mencukupi," katanya yang membuat laporan di Balai Polis UJS 8, 12 April lalu.
Seorang lagi ahli persatuan, Foong Chui Khuen berkata, individu terbabit dipercayai menggunakan risalah yang hampir sama seperti dilancarkan persatuan.
"Saya mendapat tahu individu terbabit turut mengutip derma di sekitar kedai makan di SS 15 dan SS19. Mereka seolah-olah seperti pelajar kolej berusia lingkungan 20-an.
"Memang pihak kami tidak pernah melantik mana-mana individu untuk mengutip derma bagi pihak persatuan malah individu yang melakukan kutipan dana itu bukan ahli kami," katanya yang percaya individu terbabit menyalahgunakan nama persatuan untuk kepentingan sendiri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Subang Jaya, Hannah Yeoh Tseow Suan ketika menerima aduan daripada ahli jawatankuasa persatuan itu menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika memberi sumbangan kepada orang tidak dikenali.