Isnin, 21 Mei 2012

12 di jenjarom - Google Blog Search

12 di jenjarom - Google Blog Search


Jengka 19: Kosmo Online - Rencana Utama

Posted: 04 May 2012 11:18 PM PDT


Rekaan kuil mengikut mazhab

Posted:

Rekaan kuil mengikut mazhab

Rekaan kuil mengikut mazhab

SAMBUTAN Hari Wesak tentu sekali sinonim dengan upacara keagamaan yang bermula pada awal pagi di kuil-kuil Buddha. Selain ritual kerohanian, seni bina rumah ibadat itu sendiri mampu mencetuskan rasa kagum dalam kalangan pencinta seni bina.

Sebenarnya, falsafah di sebalik pembinaan kuil-kuil Buddha lazimnya dipengaruhi mazhab dalam ajaran tersebut iaitu Theravada yang berasal dari Sri Lanka, Vajrayana (Tibet) dan Mahayana (China)

Mazhab itu pula bergantung kepada latar belakang negara yang dihuni oleh para penganutnya. Di Malaysia misalnya, ketiga-tiga mazhab Buddha mempunyai pengikut dan kuil masing-masing. Begitupun, kuil Maha Vihara di Brickfields, Kuala Lumpur dikatakan antara contoh paling jelas sebuah kuil utama mazhab Theravada.

Selain Sri Lanka, mazhab Theravada juga banyak dianuti di negara-negara Asia Tenggara yang lain seperti Thailand dan Myanmar.

Menurut sejarah, ajaran Buddha diperkenal kepada penduduk gugusan kepulauan Melayu seawal 200 tahun Sebelum Masehi. Buddhisme di Malaysia bermula apabila pedagang India dan sami-sami menjelajah dunia menggunakan jalan laut sambil membawa bersama konsep keagamaan, kerajaan dan kebudayaan dari negara asalnya.

Pada kurun kelima, Buddhisme telah berkembang dengan baik di Tanah Melayu. Selain di Kedah, pembuktiannya melalui ekskavasi arkeologi turut berlaku di Kuala Selinsing, Tanjung Rambutan, Lembah Kinta, Bidor dan Sungai Siput di Perak, selain di Perlis serta Pahang.

Ajaran tersebut melalui banyak cabaran dan turun naik dari segi pengaruhnya. Sehingga hari ini, dipercayai penganut agama Buddha sudah meliputi sekitar 19 hingga 21 peratus daripada populasi Malaysia.

Hari ini juga masih terdapat banyak peninggalan kebudayaan Buddhisme di Kedah, Perlis dan Kelantan akibat pengaruh Thailand. Elemen Buddhisme juga terserap dalam persembahan drama tari menora dan wayang kulit tempatan.

Penerapan budaya

"Buddhisme mempunyai mazhab yang berbeza kerana ia mengalami asimilasi iaitu penerapan kebudayaan asing dalam ritual penyembahannya.

"Sebagai kuil Buddha mazhab Mahayana, kami tidak ketinggalan menyambut Tahun Baru Cina sebagai sebahagian daripada sambutan kuil," demikian kata Ketua Biara, Jue Cheng dari Kuil Fo Guang Shan (FGS) Dong Zen di Jenjarom, Selangor.


STUPA yang mengikut rekaan mazhab Vajrayana.


Kira-kira 60 kilometer dari Kuala Lumpur, kuil itu dipercayai antara kuil Buddha terbesar di negara ini. Ia wujud sejak lebih lima tahun dan pernah menerima kunjungan rasmi Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak pada sambutan Hari Wesak 2011.

"Di sini, anda akan melihat unsur-unsur pembinaan dan kebudayaan China. Pegangan mazhab itu yang bermula sejak Dinasti Han telah tersebar luas sepanjang pemerintahan Dinasti Tan," kata Jue Cheng.

Diasaskan oleh Master Ching Yuen dari Taiwan sejak dua dekad lalu, ciri pembinaan kuil FGS masih mengekalkan elemen kebudayaan China. Jeu Cheng memberitahu, walaupun ia membawa elemen kebudayaan China, ajaran agama Buddha masih sama tanpa mengira mazhab.

Sementara itu, Presiden Pusat Sakyamuni Dharma di Jalan Kelang Lama, Christine Liew, yang mengakui dirinya daripada mazhab Vajrayana tetap berpegang kepada destinasi yang sama seperti mazhab Buddha lain.

"Vajrayana adalah satu lagi cabang tradisi yang berasal dari Tibet dan kami lebih banyak menggunakan mantera dan meditasi. Pemujaan mazhab Vajrayana agak mendalam, rumit dan pelbagai," ujar Christine lagi.

Mazhab Theravada yang berasal dari Sri Lanka dan India pula berpegang kepada ajaran asas yang paling mudah difahami tetapi lebih bersifat konservatif.

"Theravada lebih bertumpu kepada pemujaan seorang Buddha, seperti yang anda lihat di sini. Kami cuba menyampaikan ajaran ini secara mudah dan ia akan berpusat kepada moraliti atau dharma iaitu menurut Jalan Lapan Lapis Mulia ajaran Buddha," kata Vijaya Samarawickrama, salah seorang penaung Maha Vihara di Brickfields.

Simbol dan bahasa

Apabila dilihat dari segi seni bina, perkara paling utama bagi sesebuah kuil Buddha ialah pagoda atau stupa, namun setiap mazhab mempunyai bentuk yang berlainan.

"Pagoda Theravada Sri Lanka yang anda lihat di sini lebih ringkas, kubahnya berbentuk bulat dan mempunyai kon di puncaknya. Ia kosong tanpa banyak ukiran. Dibandingkan dengan stupa yang sama, misalnya di kuil Thai atau Myanmar, kon pada kubah menampilkan lebih ukiran dan hiasan emas.


PATUNG Sleeping Buddha di kuil Mahavihara di Brickfields.


"Sementara itu, stupa di kuil Buddha Vajrayana pula mempunyai bentuk yang memanjang dan bersegi manakala kuil Buddha Mahayana mempunyai unsur-unsur pengaruh tokong Cina," jelas Vijaya.

Menurut Jue Cheng, kuil Buddha Mahayana mempunyai reka bentuk istana China kerana ketika pemerintahan dinasti-dinasti China, mereka mahu memberi penghormatan yang sama kepada kuil.

"Hanya istana dan kuil Buddha dibenarkan mempunyai warna-warna diraja iaitu kuning keemasan," ujar Jue Cheng.

Terangnya, selain stupa, setiap mazhab juga berpegang kepada simbol masing-masing yang semuanya merujuk kepada mesej Jalan Lapan Lapis Mulia.

"Theravada menggunakan simbol roda dharma manakala Mahayana menggunakan swastika dan Vajrayana pula menggunakan dojre berganda. Semuanya membawa fungsi yang sama, untuk tujuan sembahyang dan identiti kepada Buddhisme," kata Christine sambil menunjukkan imej dojre pada stupa di pusat penyembahannya.

"Kami juga mempunyai kelainan dari segi bahasa. Vajrayana dan Mahayana mempraktik bahasa Sanskrit dan Theravada mengguna bahasa Paali yang berasal dari India dan Sri Lanka," tambah Christine.

Penyembahan yang sama

Pokok Bodhi, persembahan bunga teratai, buah-buahan, makanan dan bunga-bungaan menjadi titik persamaan antara ketiga-tiga mazhab Buddhisme.

"Sememangnya, Buddhisme mengamalkan persembahan barangan kepada Buddha. Semua mazhab memilih barangan yang sama, namun ada kuil yang turut menawarkan dedaun emas iaitu kertas berwarna emas untuk ditampal pada figura tokoh agama.


IMEJ naga dan reka bentuk istana di China menggambarkan kuil Buddha Mahayana.


"Namun, ia tertakluk kepada kuil-kuil tertentu. Di sini tidak ada tetapi anda boleh melihat di kuil Mahayana lain," kata Jue Cheng.

Penganut Theravada berpegang kepada kepercayaan seorang Buddha, Siddharta Gautama atau Sakyamuni yang sering dilihat dalam tiga posisi iaitu baring, berdiri dan bersila.

Namun begitu, mazhab Vajrayana dan Mahayana pula percaya bahawa terdapat 1,000 orang Buddha yang akan muncul mengikut yuga atau tempoh masa tertentu.

"Sekarang ialah Buddha Sakyamuni iaitu Siddharta Gautama. Beliau adalah Buddha keempat selepas Krakucchanta, Kanakamuni dan Kashyapa," katanya yang mengakui pengajaran mazhab tersebut agak rumit untuk didalami.

Tiada ulasan:

Catat Komen

ads