Nasim Sdn Bhd, pengedar rasmi kenderaan Peugeot di Malaysia, hari ini telah melancarkan pembukaan bilik pameran terbarunya di Balakong. Ketua pegawai operasi Nasim, Dato' Samson Anand George berkata, bilik pameran terbaru itu akan menampung permintaan pelanggan di kawasan Balakong, Cheras Selatan, Kajang, Semenyih, Seri Kembangan, Serdang dan Bangi.
"Tahun lepas telah mencatatkan jualan keseluruhan sebanyak 28,444 unit kenderaan. Untuk tempoh lima bulan pertama tahun ini, sejumlah 12,078 unit keseluruhan telah terjual di pasaran ini yang mana telah mencatatkan peningkatan sebanyak 4.5 peratus berbanding tempoh yang sama tahun 2010. "Pembukaan bilik pameran terbaru ini akan meningkatkan lagi jumlah jualan kami memandangkan terdapatnya peningkatan permintaan terhadap kereta buatan Eropah," tambah beliau lagi.
Bilik pameran terbaru Peugeot di Balakong adalah sebahagian daripada proses perluasan pasaran yang dilakukan oleh Nasim di seluruh negara. Syarikat itu baru saja melancarkan pembukaan pusat 3S di Melaka dan melantik pengedar tunggal di Sabah. Dengan pembukaan pusat jualan Peugeot Balakong, kini terdapat 19 pusat pameran dan jualan Peugeot di seluruh negara. Selepas Balakong, Nasim bercadang membuka tiga lagi bilik pameran dan jualan terbaru, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 22, membolehkannya berada di setiap pasaran utama di seluruh negara.
Dengan pembukaan Peugeot Balakong, syarikat itu kini memiliki 10 pusat jualan di Lembah Klang. "Kami juga bercadang melancarkan pusat 2S di Balakong tahun ini untuk menampung permintaan pelanggan Peugeot sedia ada dan pelanggan berprospek. Pusat 2S ini akan didirikan tidak jauh dari bilik pameran dan jualan dan akan menjadi salah satu pusat selepas jualan Peugeot terbesar di dalam negara," kata Dato' Samson.
Untuk enam bulan pertama tahun ini, Nasim telah menjual sebanyak 3,082 unit kenderaan, mencatatkan peningkatan ketara sehingga 137 peratus berbanding jumlah jualan pada tempoh yang sama tahun lepas. Sementara itu, Nasim juga memperkenalkan Peugeot 207 SV di Peugeot Balakong hari ini. Peugeot 207 SV merupakan varian terbaru sedan 207, tampil dengan kit badan luaran lebih sporty dan kemasan dalaman baru. Model tersebut disasarkan untuk pembeli muda dan pelanggan yang mahukan sebuah sedan lebih menarik dalam segmen-B.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan