Kajang: Mayat seorang lelaki hampir reput dipercayai mangsa bunuh, ditemui di satu kawasan lapang belakang Apartmen Inang, Taman Impian Ehsan, Balakong, di sini pada jam 1.30 petang semalam.
Mayat ditemui 200 meter dari bangunan apartmen terbabit oleh beberapa penduduk yang curiga dengan bau busuk dihidu mereka sejak beberapa hari sebelum mencari puncanya. Penemuan itu kemudian dimaklumkan kepada polis.
Ketua Polis Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab, berkata polis percaya mayat terbabit dicampak di situ antara lima hingga enam hari lalu berdasarkan keadaannya yang sudah berulat.
Mangsa dianggar berusia lewat 20-an ditemui dalam keadaan terlentang dengan kedua tangannya diikat di belakang dengan kabel putih, leher dijerut dengan pita perekat hitam. Mangsa memakai baju T merah berlogo Shell Helix serta jeans hitam tanpa kasut.
Pemeriksaan awal tidak menemui sebarang dokumen atau dompet bersamanya. Polis percaya mayat dicampak di lokasi itu kerana keadaan di situ yang agak terlindung dan berbukit, katanya sambil menambah, mayat dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.
Katanya, polis masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti identiti mangsa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan