Khamis, 9 Jun 2011

12 di jenjarom - Google Blog Search

12 di jenjarom - Google Blog Search


Kumpulan Maya? Siapa? Kami? Harhar… « Off Walls Off Pedestals

Posted: 24 May 2011 08:18 AM PDT

Nota: Tulisan ini adalah seperti pengenalan ringkas sebuah biografi sekumpulan artis yang 'tidak bernama'. Mereka banyak menyusahkan guru-guru mereka semasa menjadi pelajar seni – justeru dianggap tidak mungkin mempunyai masa depan yang cerah! Harhar… Mereka jarang berpameran – justeru sering pula dianggap sudah tidak berkarya lagi. Begitulah.'

'Macamana Kumpulan Maya sekarang? Sudah lama tidak kedengaran, sudah tidak aktif kah?'

Saya tidak pasti siapa yang bertanya – sudah lupa. Kumpulan Maya? Ahh, rupa-rupanya yang bertanya ingin mengetahui perkembangan kami… tapi Kumpulan Maya? Tidak ada. Tidak ada Kumpulan Maya. Kami tidak pernah menamakan diri kami begitu. Tapi, ada sebuah pameran yang dinamakan 'Pameran Maya', kurang lebih begitulah. 'Pameran Maya' melibatkan kami enam orang – saya, Ahmad Shukri Elias (Shukri), Suhaimi Abdul Wahab (Suhaimi), Riaz Ahmad Jamil (Riaz), Hanafiah Waiman (Hanafiah) dan Young Jeffery (Young). Pameran itu diadakan di GaleriWan, ketika itu terletak di CitySquare, Kuala Lumpur, tahun 1990.

Perkataan 'maya' muncul apabila kami mencari-cari nama atau tajuk pameran yang sesuai – yang boleh menggambarkan perwatakan, aspirasi atau gaya karya kami. Seseorang mencadangkan 'maya': logiknya mudah, cuma buang 'tidak' dari 'tidak bermaya' – yang membawa erti lesu atau tidak bertenaga. Jadi, kalau 'maya' – ia bererti gagah, ada tenaga. Tanpa banyak soal – kami semua setuju dengan 'maya' dengan erti 'tenaga' atau energy dalam Inggerisnya. Dari mana asal perkataan ini? – tanya seseorang. Mungkin Sanskrit – seseorang pula menjawab. Maka Sanskrit pun Sanskritlah jadinya – dan ini akhirnya tercatat dalam pamplet pameran (pamplet ini sudah hilang dari simpanan saya).

Maklumat masih lambat ketika itu – tidak ada kamus online atau Wikipedia seperti sekarang. Sebulan dua lepas itu barulah saya tahu yang Sanskrit 'maya' ialah ilusi, illusion, – 'alam maya', 'ruang maya' atau 'secara maya'. Harhar… Sejak itu, saya mencatat 'Pameran Berkumpulan 6 Artis', '6 Artists Group Exhibition' apabila merujuk kepada pameran ini di dalam autobiografi saya, bukan 'Pameran Maya' lagi.

Jadi, tidak ada Kumpulan Maya itu. Kami rapat atas dasar sejarah – sama-sama belajar seni halus di, ketika itu, Institut Teknologi MARA, dari 1982 hingga 1986. Selepas tamat belajar: saya, Suhaimi, Riaz dan Young berkongsi studio di Hulu Kelang, Shukri membuka sebuah studio-galeri-kelas seni di Damansara, dan Hanafiah berkarya di studionya di Jenjarom. Tahun 1988, saya kembali ke Jerteh dan balik semula ke Lembah Kelang selepas kira-kira setahun. Young ketika itu melukis potret di Pasar Seni. Riaz di Kelang. Hanafiah di Jenjarom. Shukri sudah berpindah ke Shah Alam dari Damansara. Suhaimi datang tinggal bersama saya di Shah Alam. Semua orang berkarya dan masing-masing mempunyai sejumlah karya yang bagus. Maka timbullah idea untuk berpameran. Melalui Yusuf Ghani, yang sering datang menjenguk, kami diperkenalkan kepada Wong Mei Wan, pemilik GaleriWan. Kalau tidak silap, GaleriWan ketika itu masih pada peringkat awal pembukaannya.

Kami sama-sama meminati gaya ekspresionisme – terutamanya Riaz, Shukri, Suhaimi dan Hanafiah yang memang melukis secara ekspresionis. Gaya Young ada sedikit berbau surrealisme, tapi ada unsur humor yang tersendiri, sedang saya dengan arca-arca bergaya vitalisme. Unsur 'tradisi atau peribumi', yang hangat pada ketika itu, 1980an & 1990an, datang secara natural: kadang-kadang di antara palitan berus deras dan tompokkan warna-warna garang itu, kita akan menemui juga beberapa concerns yang dekoratif sifatnya. Soal 'tradisi atau peribumi' ini jelas ditemui dalam arca-arca saya. Artis-artis Die Bruker dan Blaue Reiter – Ekspresionisme Jerman menjadi rujukan kami, selain Salvador Dali, Pablo Picasso, Alberto Giacometti, Constantine Brancusi dan Henry Moore. Abstrak Ekspresionisme Amerika tidaklah sangat menjadi kesukaan atau keutamaan kami ketika itu. Kami amat rajin melukis: kalau Riaz itu, kerjanya melukis saja – tidak kira atas apa dan dengan apa, siang atau malam. Kami ke mana-mana dengan sketchbook. Di kalangan artis Malaysia, kami lebih tertarik dengan karya-karya Abdul Latif Mohidin, Zulkifli Dahlan atau Zulkifli Buyong berbanding dengan yang lain-lain. Kami juga terlibat dengan pendidikan seni. Semua dari kami pernah menjadi 'pensyarah sambilan' di merata sekolah seni.

Kami bersikap sangat keras dengan seni – begitulah. Kami tidak mendengar sebarang teguran – apa lagi dengan idea-idea untuk 'mencantikkan karya' supaya mudah dibeli kolektor. Kami tidak peduli kalau karya kami tidak dibeli atau tidak diminati orang. Kami tidak berapa peduli dengan pameran; tidak beria-ia untuk menyertai mana-mana pameran atau pertandingan melukis. Kami berkarya terus atas rasa cinta kami dengan seni. Kekayaan atau kesenangan hidup bagi kami adalah terus dapat berkarya. Saya adalah seni! – begitu jawab saya dengan 'sombong'nya kepada seorang penulis apabila dia meminta pandangan mengenai seni! Terkejut dia… Harhar…

Sekarang: saya masih mengajar, juga Hanafiah dan Shukri. Saya membuat lukisan, instalasi, karya-karya konseptual dan menulis. Hanafiah dan Shukri juga terus berkarya – ketika saya menulis ini, Shukri baru saja kembali dari berpameran di Copenhagen, Denmark. Suhaimi tinggal di Langkawi, banyak mengembara ke Thailand dan Indochina – banyak membuat catair selain dari catan-catan minyaknya. Young tinggal di kampongnya dekat Ipoh – mengusahakan sebuah ladang ternak kambing, selain terusan melukis. Riaz pula agak susah untuk dihubungi – seperti menghilang diri, tapi tidak dengan seni. Kami percaya Riaz juga terus berkarya.

Kumpulan Maya tidak ada. Tidak pernah wujud. Harhar…

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ads