12 sekolah di Sungai Burung guna e-tutor, ADaP
|
Shamsudin Lias menunjukkan sisipan Akhbar Dalam Pembelajaran yang akan digunakan oleh murid di 12 sekolah di Sungai Burung, Tanjong Karang, semalam.
|
SHAH ALAM 23 Feb. - Pakej pembelajaran keluaran Kumpulan Utusan akan dijadikan model untuk meningkatkan prestasi pelajar dalam peperiksaan terutama di kalangan murid-murid luar bandar.
Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Sungai Burung, Datuk Shamsudin Lias berkata, penggunaan e-tutor serta Akhbar Dalam Pembelajaran (ADaP) diyakini mampu mencapai keseimbangan pendidikan melalui pendekatan pembelajaran terkini di samping bertindak membentuk minda para pelajar.
Katanya, pembelajaran dalam talian dan ADaP merupakan cara berkesan melonjakkan pencapaian pelajar kerana ia menyediakan pengetahuan tambahan kepada mereka.
Katanya, melalui cara ini, kualiti serta peratusan kecemerlangan pendidikan akan mudah dipantau di samping mendorong mereka berjaya dalam kehidupan dan masa depan.
"Saya tidak mahu pelajar luar bandar tertinggal dalam aspek pembelajaran kerana pengetahuan yang tinggi dapat melahirkan anak bangsa yang profesional seperti menjadi seorang doktor, jurutera, arkitek, peguam dan sebagainya," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Shamsudin akan menaja e-tutor kepada tiga sekolah menengah dan ADaP kepada sembilan sekolah rendah dalam DUN Sungai Burung, Tanjong Karang yang dijangka memberi manfaat kepada 480 orang pelajar.
Menurutnya, dengan pembelajaran secara dalam talian dan ADaP, ia akan menimbul minat lebih mendalam di kalangan pelajar untuk belajar bersungguh-sungguh.
Beliau yakin, dengan cara itu juga, jumlah pelajar cemerlang bagi tiga peperiksaan akan meningkat berbanding sebelumnya.
"Saya berharap dengan pemberian 60 ID e-tutor dan naskhah ADaP ini sekurang-kurangnya 15 peratus daripada setiap sekolah dalam DUN ini mampu melahirkan pelajar cemerlang.
"Saya juga yakin sekurang-kurangnya 480 pelajar yang menghadapi peperiksaan UPSR, PMR dan SPM tahun ini akan mencatat keputusan lebih baik kerana mereka akan berkongsi pendekatan pembelajaran terbaik," katanya.
Di samping itu, beliau bersama pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah juga bercadang untuk menganjurkan program motivasi pelajar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan