Oleh: NAZLI IBRAHIM
SEKINCHAN 7 MEI: Isu status tanah yang menempatkan jeti nelayan di sepanjang Pantai Redang, Sekinchan dijangka selesai apabila satu kajian menyeluruh dijalankan.
Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, kajian itu dijalankan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) melibatkan isu Kebenaran Menduduki Sementara (TOL).
Katanya, kajian itu untuk mengenalpasti dan menyusun atur semula supaya sistem lebih baik yang mampu memberi pulangan yang baik kepada pengusaha di sini.
"Sebab bila kerajaan melaksanakan polisi rezab sungai dan sebagainya kita hentikan TOL tetapi di sini ada kepentingan kepada nelayan dan juga industri pelancongan.
"Ia diputuskan Kerajaan Negeri yang sudah tentu bukan TOL tetapi yang lebih kekal dan baik sama ada mungkin sistem pajakan atau sistem pengurusan tanah digunakan, cuma pengurusan diserahkan kepada pengusaha ini," kata Dr Yunus.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri sesi dialog bersama nelayan dan pengusaha jeti dalam lawatan kerja di Pantai Redang di sini, semalam.
Dr Yunus dalam lawatan kerjanya turut meninjau jeti Jalan Tepi Sungai dan Jeti Bagan Sekinchan.
Katanya lagi kajian yang dijalankan perunding yang dilantik LUAS kini berada di peringkat akhir sebelum diputuskan dalam mesyuarat Exco Kerajaan Selangor.
ADUN Sekinchan, Ng Sue Lim dalam sesi dialog sebelum itu berkata, jeti di Pantai Redang merupakan sumber pendapatan nelayan dan pengusaha jeti terlibat.
"Jeti ini amat penting untuk nelayan menaikkan hasil tangkapan mereka dan juga semakin mendapat tempat dalam menarik kedatangan pelancong," ucap Sue Lim dalam majlis dialog itu.
Selangor Kini difahamkan terdapat 110 jeti yang beroperasi di sepanjang Pantai Redang yang digunakan sebagai tempat menaikkan ikan bagi bot nelayan besar kelas B dan C.
Manakala bagi bot nelayan kecil kelas A pula dianggarkan lebih 200 beroperasi di kawasan itu.
EZY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan