SHAH ALAM – Tertuduh keempat, R. Kathavarayan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini semalam bahawa dia melihat seorang wanita yang didakwa sebagai Datuk Sosilawati Lawiya di sebuah restoran di Tanjung Sepat, Banting lapan hari selepas jutawan kosmetik terbabit dikatakan mati dibunuh.
Kathavarayan, 32, berkata, dia hanya mengetahui wanita itu merupakan Sosilawati selepas diberitahu oleh bekas majikannya, N. Pathmanabhan, 43, ketika mereka dalam perjalanan pulang selepas berjumpa dengan rakan-rakan bekas peguam itu di sebuah restoran pada petang, 7 September 2010.
Bagaimanapun, kata tertuduh itu, pada masa tersebut wanita terbabit berambut pendek dan berbeza dengan Sosilawati yang dilihat pada kali terakhir datang ke Ladang Gadong pada 30 Ogos 2010 yang berambut panjang.
Terdahulu, Kathavarayan yang disoal peguam yang dilantik mahkamah Hasshahari Johari Mawi berkata, pada hari kejadian dia diminta Pathmanabhan membawanya ke sebuah restoran di Tanjung Sepat.
"Saya diarah tunggu di dalam kereta dan Pathmanabhan kemudian makan dan bersembang dengan rakan-rakannya dengan agak lama," katanya dalam bahasa Tamil yang diterjemah oleh jurubahasa mahkamah.
Dakwa Kathavarayan atau nama panggilan Ravi, semasa berada di dalam kereta dia tidak dapat melihat dengan jelas rakan-rakan Pathmanabhan kerana berada dalam jarak kira-kira 12 meter hingga 13 meter sehingga ada antara lima dan enam orang termasuk seorang wanita pergi ke kenderaan masing-masing.
"Dalam perjalanan pulang saya tanya Pathmanabhan siapa wanita di restoran, dia cakap itulah perempuan yang datang ke ladang tempoh hari.
"Saya tanya dia nampak lain, rambut pendek tetapi Pathmanabhan cakap itu merupakan perempuan yang sama (Sosilawati)," katanya.
Wanita itu jelas Kathavarayan menaiki kenderaan seperti jip bersama seorang lelaki yang berkemeja lengan panjang namun tertuduh mendakwa tidak pernah melihat lelaki tersebut.
Kathavarayan juga memberitahu, itu merupakan kali terakhir dia melihat wanita berkenaan.
Kathavarayan kemudian diberi sekeping gambar Sosilawati untuk pengecaman dan bekas pekerja ladang itu mengaku itu merupakan wanita yang dilihatnya di restoran cuma berbeza kerana berambut pendek dan berpakaian perempuan.
Kathavarayan bersama Pathmanabhan selaku tertuduh pertama manakala Thilaiyalagan, 21, R. Matan, 22, masing-masing tertuduh kedua dan ketiga kini pada peringkat pembelaan.
Mereka kini membela diri atas tuduhan membunuh Sosilawati, 47; pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38; peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32; dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Ladang Gadong di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat di Banting antara pukul 8.30 malam dan pukul 9.45 malam, 30 Ogos 2010.
Sementara itu, pada awal keterangan, Kathavarayan berkata, dia ada terdengar Pathmanabhan mengarahkan Thilaiyalagan supaya membunuh pemandu Sosilawati iaitu Kamarudin atas arahan wanita itu sendiri.
Dakwa tertuduh, perbualan itu didengar di luar bilik karaoke di belakang ladang selepas Pathmanabhan selesai berbincang dengan Sosilawati di dalam bilik tersebut.
Ketika keluar dari bilik berkenaan, muka Sosilawati kelihatan muram manakala Pathmanabhan dalam keadaan tergesa-gesa menuju ke keretanya.
Keesokan harinya, pada petang 31 Ogos 2010, Kathavarayan berkata, semasa pulang dari pekan Banting, dia ada ternampak Thilaiyalagan dan Matan sedang membakar orang-orang yang dibunuh di satu lokasi pembakaran di belakang ladang.
"Apa yang dimaksudkan dengan orang-orang?," tanya peguam sebelum Kathavarayan menjelaskan; "Seorang pemandu, seorang peguam Melayu dan juga seorang yang saya tidak kenal, saya tidak lihat muka."
(Sumber Dari KOSMO! 16/01/2013)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan