Jumaat, 5 Oktober 2012

12 di sungai panjang - Google Blog Search

12 di sungai panjang - Google Blog Search


37 Tahun Menanti Kini Baru Dapat Hak Milik Tanah

Posted: 22 Sep 2012 08:52 PM PDT

SABAK BERNAM 23 SEPT : Seorang petani berusia 60 tahun yang menghabiskan hampir separuh usianya menetap di Kampung Bagan Terap, Sungai Panjang di sini bersyukur impiannya untuk mendapatkan hakmilik tanah dimakbul juga semalam.

Abu Bakar Hashim melafazkan rasa syukur itu ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Hakmilik Tanah dan Skim Mesra Usia Emas (SMUE) oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di sini.

"Pakcik sudah duduk di kampung ini dalam 37 tahun dan lebih 10 tahun memohon hakmilik tanah ini tapi baru sekarang pakcik dapat.

"Gembira dan syukur sangatlah bila dapat ni," katanya yang kelihatan begitu gembira.

Beliau adalah salah seorang daripada 111 penerima dari Bagan Sungai Burung, Sungai Besar serta Bagan Terap, Parit 18 Tanjung Medan dan Kampung Hala Cara Baru di Sungai Panjang yang layak mendapat hakmilik tanah atau notis 5A selain 86 orang menerima bantuan SMUE daripada Kerajaan Negeri.

Seorang lagi peserta, Che Aminah Shahrin, 70, bekas pekerja ladang dari Kampung Hala Cara Baru berkata, sememangnya Kerajaan Negeri bertindak betul kerana ramai penduduk yang menetap di kampung dalam daerah itu lebih dari 10 hingga 20 tahun.

"Makcik pun sudah tinggal lebih 20 tahun. Jadi dapat geran hakmilik tanah ini memang seronoklah.

"Lagipun dah minta lebih dari 10 tahun," katanya ibu empat anak yang kematian suami tujuh tahun lalu itu.

Sementara itu, Abdul Khalid dalam ucapannya berkata, Kerajaan Negeri mengamalkan konsep pembangunan bersama dengan semua rakyat tanpa mengira kaum menikmati hasil negeri ini.

Menurutnya, rakyat berhak ke atas hasil negeri dan pemimpin dipilih hanya perlu menjalankan tanggungjawab mengurus dengan baik.

"Pengurusan yang baik bukan sahaja cekap tetapi amanah.

"Konsep digunakan dengan menguruskan harta negeri Selangor di mana pemimpin tak boleh boros. Dengan cara itu perbelanjaan kita cukup dan simpanan bertambah," katanya.

Beliau berkata, pelbagai program dibuat Kerajaan Negeri seperti pemberian hakmilik tanah itu dibuat secara berterusan demi kebaikan rakyat Selangor.

Tambahnya, rakyat yang layak akan mendapat hakmilik itu dan Kerajaan Negeri akan bersikap adil.

"Bila orang dah dapat tanah, dia jaga kawasan tempat tinggal dia dengan baik.

"Ini perkembangan penting di Selangor dan akan membangunkan ekonomi," katanya.

Turut hadir, Exco Kerajaan Negeri, Ronnie Liu; Adun Sekinchan, Eng Suee Lim dan Pegawai Daerah Sabak Bernam, Mohd Zainal Mohd Nor.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ads