Ahad, 24 Jun 2012

di negeri selangor - Google Blog Search

di negeri selangor - Google Blog Search


KERAJAAN <b>NEGERI SELANGOR</b> PERLU TERBUKA DALAM <b>...</b>

Posted: 20 Jun 2012 10:40 PM PDT

Tindakan Kerajaan Negeri Selangor mengadakan Forum Air Selangor secara tertutup tanpa menjemput wakil-wakil Kerajaan Persekutuan dan operator-operator air jelas menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri Selangor masih mempolitikkan isu air di negeri Selangor.

Dalam forum tersebut, Kerajaan Negeri Selangor mengambil kesempatan untuk mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang tidak tepat yang bertujuan untuk mengelirukan rakyat tanpa memberi peluang kepada Kerajaan Persekutuan untuk menjelaskan kedudukan sebenar.

Sekiranya Kerajaan Negeri Selangor benar-benar ikhlas untuk menyelesaikan isu bekalan air di negeri Selangor, Kerajaan Negeri Selangor sewajarnya berani untuk bersemuka dengan pihak Kerajaan Persekutuan dan membincangkan isu-isu tersebut secara profesional dan terbuka sepertimana yang dibuat oleh Kerajaan Persekutuan yang telah menjemput wakil Kerajaan Negeri Selangor menganggotai Pasukan Petugas Bagi Menangani Krisis Bekalan Air di Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.

Malah, saya berpandangan bahawa kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan semasa forum tersebut mengenai ketidakwajaran pelaksanaan Loji Rawatan Air Langat 2 seharusnya dibincangkan semasa mesyuarat Pasukan Petugas atau mana-mana forum terbuka supaya semua pihak boleh memberi pandangan secara profesional bagi memastikan rakyat mendapat gambaran sebenar mengenai perkara ini.

Saya ingin menegaskan bahawa permintaan air di negeri Selangor semakin meningkat dan maklumat terkini daripada SPAN menunjukkan kadar permintaan tertinggi telah mencecah 4,410 juta liter sehari, melebihi kapasiti pengeluaran air dari loji-loji iaitu 4371 JLH. Ini bermakna bahawa terdapat loji-loji yang beroperasi melebihi kapasiti reka bentuk masing-masing bagi memenuhi permintaan yang tinggi ini.

Oleh itu, kenyataan bahawa permintaan air di Selangor adalah semakin mendatar atau flattening, adalah tidak benar kerana hakikatnya, permintaan air pada masa ini tidak menunjukkan permintaan air sebenar.

Sebaliknya, permintaan air yang direkodkan ini lebih merupakan suppressed demand disebabkan loji-loji rawatan air tidak dapat membekalkan air yang mencukupi. Saya percaya, permintaan air di negeri Selangor akan terus meningkat seperti yang diunjurkan khususnya dengan pelaksanaan projek-projek di bawah Economic Transformation Program (ETP) sekiranya lebih banyak bekalan air terawat dapat disalurkan kepada para pengguna.

Oleh itu, saya ingin menekankan sekali lagi bahawa Projek Loji Rawatan Air Langat 2 adalah merupakan satu-satunya projek yang dapat mengatasi masalah bekalan air di negeri Selangor.

Ini kerana pelaksanaannya dibuat berdasarkan dapatan dari Kajian Sumber Air Negara 2000 yang telah mengambil kira kadar pertumbuhan penduduk yang pesat serta kadar pertumbuhan perbandaran yang tinggi di negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Kajian tersebut seterusnya telah mencadangkan pelaksanaan Skim Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor bagi memastikan bekalan air yang mencukupi sehingga tahun 2025 setelah didapati bahawa opsyen tersebut merupakan opsyen terbaik bagi memenuhi permintaan air di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya sehingga tahun 2025 dari segi teknikal, ekonomi dan sosial.

Pelaksanaan Skim ini dijangka dapat memastikan 8 juta penduduk di kawasan-kawasan tersebut mendapat bekalan air yang mencukupi dan berterusan dari tahun 2014 sehingga 2025 tanpa perlu membina loji-loji rawatan air tambahan.

Saya juga ingin menekankan bahawa pelaksanaan keseluruhan Skim ini yang dapat membekalkan 1,130 juta liter sehari memerlukan peruntukan sekitar RM5 bilion sahaja berbanding dengan peruntukan sebanyak RM7.2 bilion yang diperlukan untuk menurunkan kadar air tidak berhasil atau NRW dari 32.3% pada tahun 2012 kepada 20.83% pada tahun 2020 iaitu penjimatan purata tahunan sekitar 126 juta liter sehari sahaja.

Fakta ini jelas menunjukkan bahawa pelaksanaan projek-projek untuk menurunkan kadar NRW bukan merupakan jawapan bagi menangani masalah bekalan air di negeri Selangor.

Sebaliknya pelaksanaan Projek Loji Rawatan Air Langat 2 merupakan opsyen terbaik bagi memastikan bekalan air yang mencukupi kepada rakyat di negeri Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur.

Oleh itu, saya menyeru buat kesekian kalinya supaya Kerajaan Negeri Selangor memberikan kerjasama untuk memberikan kelulusan-kelulusan yang diperlukan bagi melaksanakan Projek Loji Rawatan Air Langat 2.

Tindakan Kerajaan Negeri yang melengah-lengahkan kelulusan bagi pembinaan loji akan menyebabkan pembaziran wang rakyat kerana Kerajaan Persekutuan terpaksa meluluskan peruntukan sebanyak RM606 juta untuk membolehkan Kerajaan Negeri Selangor melaksanakan projek-projek mitigasi bagi menangani krisis air yang dijangka berlaku pada tahun 2014.

Malah, sebahagian daripada projek-projek mitigasi tersebut dilaksanakan sendiri oleh pihak Kerajaan Negeri Selangor. Secara tidak langsung, ini bermakna bahawa Kerajaan Negeri Selangor sedar dan mengakui bahawa krisis air akan berlaku pada tahun 2014 jika tiada langkah diambil untuk menanganinya.

Oleh itu, saya menyeru Kerajaan Negeri supaya tidak sekadar membuat kenyataan-kenyataan yang mengelirukan mengenai bekalan air di negeri Selangor tetapi perlu bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan untuk menanganinya demi kebaikan rakyat di negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ads