Dr Mohammad Agus Yusoff SHAH ALAM – Calon Bebas yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU) kelak mungkin bukan menjadi pilihan utama pengundi di Selangor kerana mereka dilihat tidak signifikan 'berperang' dengan dua parti dominan ketika ini.

Penganalisis politik, Prof Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff berpendapat, ini kerana trend pengundi sekarang dilihat lebih cenderung kepada parti, sama ada Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Rakyat (PR).

Beliau berkata, calon Bebas itu bagaimanapun boleh bertanding dalam pilihan raya, asalkan mempunyai karisma, pesona dan kriteria lain untuk menambat hati pengundi.

"Mereka bukan pengacau (jumlah undi). Gerakan ketiga, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau masyarakat setempat boleh bertanding sebagai calon Bebas, tetapi hanya setakat itu saja.

"(Sekatat ini), tiada lagi orang (calon Bebas) yang boleh menandingi Mohd Jabar Mohd Yusof, Adun Batu Laut (yang kini dikenali sebagai Tanjung Sepat) yang hebat, bertanding sebagai calon Bebas dan menang di Selangor," katanya ketika diminta mengulas berhubung kemungkinan pertembungan tiga penjuru melibatkan calon bebas di Selangor pada PRU13.

Sementara itu, penganalisis politik, Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, pertembungan calon Bebas tidak dapat dielak dan beliau menyifatkan ia sebagai satu perkara biasa ketika pilihan raya.

Katanya, berdasarkan pengalaman pilihan raya yang lalu, calon berkenaan bertanding atas banyak sebab antaranya merasakan diri berpeluang untuk berkhidmat kepada rakyat atau bertujuan untuk memecah undi yang dilakukan oleh parti politik tertentu.

"Susah untuk ramal (peratusan calon Bebas yang akan bertanding di Selangor). Mereka tiada tempat dalam parti-parti politik, jika menang pun, hanya atas undi protes (yang dibuat rakyat kerana tak berpuas hati dengan parti politik," katanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) 2008, lima kerusi ditandingi calon Bebas, masing-masing melibatkan Parlimen Kelana Jaya, Dun Rawang, Batu Caves, Pelabuhan Klang dan Sungai Pelek, bagaimanapun mereka kalah.