ads

Khamis, 26 September 2013

12 di sepang - Google Blog Search


URL Sumber Asal :-

12 di sepang - Google Blog Search


Marshal maut, pelumba parah <b>di</b> Litar Antarabangsa <b>Sepang</b>, Super <b>...</b>

Posted: 21 Sep 2013 07:33 AM PDT

Melvyn Shanesh, saksi kemalangan yang meragut nyawa bapanya, Satish (gambar kecil), ditenangkan oleh seorang saudara di Hospital Putrajaya . — GLENN GUAN / The Star

Keadaan pelumba yang terlibat dalam kemalangan tersebut. - NST

SEPANG 21 Sept. - Seorang marsyal perlumbaan terbunuh dalam kemalangan ketika sesi latihan perlumbaan motosikal Super Siri Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di sini hari ini.

Marsyal yang terbunuh ialah S. Satish, 44, manakala seorang pelumba kategori 250cc yang turut terlibat dalam kemalangan itu belum dikenal pasti identitinya turut cedera.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali ketika dihubungi Mingguan Malaysia mengesahkan mengenai kemalangan itu, namun enggan mengulas lanjut.

Berikutan kemalangan tersebut, perlumbaan pusingan keempat Super Siri Malaysia yang dijadual berlangsung semalam dan hari ini ditangguhkan.

Sementara itu, SIC dalam satu kenyataan memaklumkan, mangsa yang terbunuh telah diberi rawatan awal di tempat kejadian sebelum dikejarkan ke Hospital Putrajaya, namun disahkan meninggal dunia kerana mengalami kecederaan parah.

SIC turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat.

Pihak SIC masih menyiasat punca kemalangan tersebut dan laporan polis telah pun dibuat, kata kenyataan itu.

Mingguan Malaysia difahamkan, kemalangan berlaku apabila marsyal terbabit cuba mengambil bendera penamat yang terjatuh dalam trek.

Bagaimanapun tiba-tiba seorang pelumba gagal mengawal motosikalnya lalu merempuh marsyal itu mengakibatkan kedua-dua mereka cedera parah.

Utusan 21 Sep 2013

Marshal maut di Litar Sepang

PERLUMBAAN pusingan ketiga Kejuaraan Motosikal Super Siri Malaysia (MSS) 2013 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) terpaksa dibatalkan semalam.

Ia gara-gara satu kemalangan yang berlaku di litar tersebut sehingga meragut nyawa seorang marshal perlumbaan dan mencederakan seorang pelumba pada sesi latihan.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 12.30 tengahari itu, mangsa, Satish Suppiah dilaporkan meninggal dunia di Hospital Putrajaya selepas mengalami kecederaan serius di kepala.

Insiden tersebut berlaku apabila seorang pelumba, Mohd. Izzat Mohd. Abdul Hakin, 17, yang beraksi dalam kelas 250cc dipercayai gagal mengawal jenteranya di laluan lurus sebelum terbabas dan melanggar Satish yang berada di tepi litar tersebut.

Mangsa kemudian dirawat oleh pasukan perubatan di litar tersebut sebelum dikejarkan ke Hospital Putrajaya.

Izzat turut dilaporkan cedera parah di kepala dan sedang menerima rawatan di hospital yang sama.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SIC, Datuk Ahmad Razlan Ahmad Razali menjelaskan insiden maut yang kali kedua berlaku dalam masa tiga tahun di litar tersebut adalah sesuatu yang amat menyedihkan bagi arena sukan permotoran negara.

"Ini adalah satu berita yang amat menyedihkan dan mendukacitakan.

"Malah, ia juga kali kedua berlaku selepas insiden yang menimpa pelumba MotoGP, Marco Simoncelli pada tahun 2011.

"Saya difahamkan insiden ini terjadi di laluan yang lurus dan bukan di selekoh tajam atau sebagainya serta turut mencederakan seorang pelumba muda kita yang ketika ini saya dengar agak parah juga keadaannya.

"Bagaimanapun, saya rasa ia adalah satu peringatan kepada kita bahawa sukan permotoran adalah satu sukan yang berbahaya dan tidak boleh dipandang mudah.

"Saya bersimpati terhadap semua keluarga mangsa dan berharap pelumba muda kita yang cedera itu dapat diselamatkan," ujar beliau lagi.

Sementara itu, dalam satu kenyataannya, SIC menjelaskan bahawa susulan daripada insiden tersebut, pegawai perlumbaan dan pihak penganjur memutuskan untuk membatalkan terus saingan yang sepatutnya berlangsung pada hari ini dan esok.

Insiden itu juga masih lagi dalam siasatan polis dan Persatuan Automobil Malaysia (AAM) manakala tarikh baharu bagi perlubaan pusingan keempat MSS 2013 akan diumumkan tidak lama lagi.

Kosmo 22 Sep 2013

Marshal terbunuh, pelumba cedera di litar Sepang

PUTRAJAYA: Kemalangan tragik yang membabitkan kematian seorang marshal perlumbaan dan menyebabkan seorang pelumba cedera parah di litar Sepang semalam, turut disaksikan oleh dua orang anak lelaki marshal tersebut.

Marshal tersebut, S.Satish, 44,  meninggal dunia akibat kecederaan parah yang dialami sebaik sahaja tiba di Hospital Putrajaya.

Kedua-dua anak lelaki mangsa, Mark Sudesh, 20, dan Melvyn Shanesh, 15, yang datang melihat bapa mereka bertugas, juga berkongsi minat bapa mereka dalam sukan motor.

Ketika ditemui di rumah mayat Hospital Putrajaya, Mark Sudesh berkata sesi latihan untuk kelas 250cc sedang berjalan dan bapanya sedang mengibar bendera keselamatan di baris penamat apabila salah seorang pelumba merempuhnya.

Pelumba itu yang dipercayai dikenali sebagai Muhammad Izzat, berada di dalam keadaan kritikal namun stabil di Hospital Putrajaya.

Polis masih menyiasat punca kejadian.

"Saya tak dapat buat-apa-apa, hanya tergamam bila tengok motosikal itu seret bapa saya," kata Mark Sudesh.

"Kemudian, semua pegawai keselamatan berlari untuk membantu. Saya dan adik pun ikut sama," katanya.

Melvyn Shanesh berkata keadaan bapanya lemah ketika itu dan mereka cuba bercakap dengannya.

"Dia sudah tiada.

"Dia meninggal dunia selepas tiba di hospital," katanya sambil menangis.

Mark Sudesh berkata bapanya menggalakannya supaya menyertai sukan motor dan selalu menyokongnya menyertai perlumbaan motor yang sah.

Sementara itu, bapa Satish, Nathaniel Suppiah berkata upacara pengembumian akan diadakan di rumah mereka di Jalan Peel (Jalan Syahbandar) di Cheras sebelum mendiang dikebumikan di Tanah Perkuburan Kristian Cheras.

"Satish amat berminat dengan sukan motor dan aktif sebagai marshal dalam perlumbaan kereta dan motor sejak tahun 2001," katanya.

Anak perempuan Satish, Melysha Sino­dhini, 14, terlalu sedih dengan kematian bapanya. Ketiga-tiga beradik itu akan tinggal bersama datuk mereka, Nathaniel selepas ini.

Ketua Polis Daerah Sepang Superitendan Imran Abdul Rahman berkata kejadian berlaku sekitar pukul 12.30 tengah hari..

"Mangsa dikejarkan ke Hospital Putrajaya namun disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 2.05 petang," katanya dengan menambah yang pelumba terbabit yang cedera di kepala juga menerima rawatan di hospital yang sama.

Kejadian berlaku hampir dua tahun selepas pelumba MotoGP, Marco Simoncelli, terbunuh ketika menyertai perlumbaan Malaysian Grand Prix 2011 di Sepang pada 23 Okt, 2011.

Simoncelli berusia 24 tahun apabila maut akibat cedera parah selepas kemalangan di pusingan kedua dalam perlumbaan tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali berkata kejadian masih sedang disiasat dan pihak pengurusan litar sedang menunggu laporan tentang kemalangan tersebut.

Razlan dan pengerusi litar, Datuk Mokhzani Mahathir mengucapkan takziah ke atas keluarga Satish.

"Malang sekali satu lagi kemalangan tragik di litar berlaku hari ini dan kami amat sedih kerana kali ini ia melibatkan seorang marshal," tambah Razlan.

Pusingan ketiga Super Siri Malaysia telah ditangguhkan buat masa ini dan tarikh baru pusingan keempat akan diumumkan dalam masa terdekat.

Sumber The Star 22 Sep 2013

Pelumba Kejuaraan Motosikal Super Siri Malaysia Muhammad Izzat meninggal dunia

Muhammad Izzat Mohd Abdul Hakim

KUALA LUMPUR: Pelumba Kejuaraan Motosikal Super Siri Malaysia (MSS) 2013, Muhammad Izzat Mohd Abdul Hakim, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini, lima hari selepas terbabit dalam kemalangan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Ketua Polis Daerah Sepang Superintendan Imran Abdul Rahman ketika dihubungi Bernama berkata, pelumba berusia 17 tahun itu meninggalkan dunia pada jam 1 tengah hari akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Dalam insiden Sabtu lepas, Muhammad Izzat, yang beraksi dalam kelas 250cc, dipercayai gagal mengawal jenteranya di laluan lurus sebelum terbabas dan melanggar marsyal perlumbaan S. Satish, 44, pada jam 12.30 tengah hari sebelum berakhirnya sesi latihan.

Satish meninggal dunia di Hospital Putrajaya pada hari yang sama selepas mengalami kecederaan serius di kepala manakala Muhammad Izzat, yang turut mengalami kecederaan parah, dihantar ke HKL.

Berikutan kemalangan itu, perlumbaan pusingan keempat MSS 2013 ditangguhkan. - BERNAMA

25 Sep 2013

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

BLOG SELANGOR

Copyright 2010 All Rights Reserved