SUNGAI BULOH 12 OKTOBER : Penantian 219 keluarga dari Kampung Sri Indah, Paya Jaras di sini untuk memiliki geran tanah kediaman sejak 20 tahun lalu berakhir hari ini apabila kesemua mereka menerima geran hak milik masing-masing.
Seorang penerima, Goh See Hai, 52, berkata, beliau terpaksa menunggu sekian lama biarpun segala dokumen telah diserahkan sejak Kerajaan Umno-BN dahulu namun sikap yang diamalkan kerajaan pemerintah ketika itu menyebabkan urusan hak milik tanah tertangguh bertahun-tahun.
"Saya telah menetap di kampung ini lebih 20 tahun, pelbagai usaha dilakukan untuk mendapat geran ini, biarpun kerajaan dahulu berjanji untuk menyelesaikannya, tapi akhirnya ia diselesaikan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat," ujarnya.
Bagi Yap Kwai Loon, 52, beliau merasa gembira kerana isu berkenaan dapat diselesaikan kerana terpaksa menunggu selama lebih 23 tahun.
"Dulu wakil MCA ada berjanji untuk menyelesaikannya, tapi saya sudah menunggu terlalu lama, akhirnya dapat juga geran tanah sendiri, terima kasih kepada Adun dan Kerajaan Negeri yang banyak membantu," katanya yang berwajah ceria.
Kedua-dua mereka ditemui ketika satu majlis penyerahan kelulusan geran yang disampaikan oleh Exco Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Kampung Baharu dan Pemutihan Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah di Dewan JKKK Kampung Sri Indah A, Paya Jaras, di sini hari ini.
Turut hadir, Adun Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman dan Ahli Parlimen Subang, R.Sivarasa.
Sementara itu, Mohd Khairuddin ketika ditemui berkata, sebanyak lima kampung lagi di bawah DUN Paya Jaras masih menunggu geran tanah masing-masing dan berharap isu berkenaan akan diselesaikan dalam tempoh tiga tahun lagi.
"Pertamanya saya ingin ucapkan terima kasih kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang bersungguh-sungguh mempercepatkan segala urusan berkenaan hak milik tanah ini.
"Di Dun Paya Jaras ini terdapat 15 buah kampung dan sebanyak lima buah kampung masih lagi menunggu dan saya berharap Kerajaan Negeri dapat membantu segala urusan berkenaan supaya semuanya mendapat hak milikan sendiri," katanya.
Kesemua penduduk berkenaan bakal menerima geran tanah selepas meyelesaikan jumlah premium sebanyak RM1,000 yang disyaratkan oleh Kerajaan Negeri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan