PLUS 4Bagi memastikan kelancaran perjalanan dan keselesaan pengguna lebuh raya pada masa akan datang, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) giat menjalankan kerja projek pelebaran lorong keempat dibeberapa laluan utama di lebuh raya kendaliannya.

Projek dengan anggaran nilai RM1.4 bilion ini dimulakan sejak Julai 2012 dan dijangka siap pada penghujung tahun 2014 dilaksanakan untuk memberi manfaat jangka panjang kepada orang ramai dan pengguna lebuh raya.

Menurut Ketua Pegawai Operasi PLUS, Mohammad Fuad Khusairi, "Projek Pelebaran Lorong Keempat di lebuh raya kendalian PLUS melibatkan laluan Shah Alam-Sungai Buloh (16 kilometer), Bukit Lanjan-Jalan duta (7 kilometer), Sungai Buloh-Rawang (13 kilometer) dan Persimpangan Nilai Utara-Port Dickson (27 kilometer)".

Selain meningkatkan kapasiti trafik, ciri tambahan lain dalam projek ini adalah dengan penambahan loroang tambahan kelima melibatkan melibatkan laluan Damansara-Subang (Arah Selatan) serta penambahan lorong mendaki di laluan Kota Damansara-Bukit Lanjan.

Kerja-kerja fasa kedua sedang dijalankan pada ketika ini dengan melibatkan penjajaran dan penandaan semula lorong sedia ada, penutupan lorong kecemasan dan melaksanakan kerja-kerja pembinaan asas jalan di laluan terbabit.

Bagi menjamin keselamatan pengguna ketika melalui lokasi kawasan pembinaan, PLUS telah membuka laluan dan hentian kecemasan di setiap dua kilometer di sepanjang kawasan pembinaan, meningkatkan rondaan pasukan PLUSRonda serta menyediakan perkhidmatan trak tunda.

"PLUS menasihatkan orang ramai agar merancang perjalanan mereka dan mendapatkan maklumat terkini berkenaan penutupan lorong dan menggalakan penggunaan laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan. " ujar Fuad

Untuk sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut, sila hubungi PLUS di talian PLUSLine di 1800 88 0000, twitter @plustrafik, aplikasi PLUS Mobile App atau menerusi laman web PLUS di www.plus.com.my untuk mendapatkan keadaan trafik semasa.