KUALA LANGAT – Hasrat Ketua Wanita UMNO cawangan Jenjarom untuk membuat pemeriksaan darah di Klinik Kesihatan Jenjarom di sini tidak kesampaian apabila dia maut selepas motosikal yang ditunggang dirempuh sebuah motosikal lain kelmarin.
Nor Asmah (kanan) bergambar bersama menantu dan cucunya, pada hari berkempen sempena pilihan raya lalu di Kampung Jenjarom, Banting. Foto -BH
Dalam kejadian pada pukul 7.30 pagi di hadapan Klinik Kesihatan Jenjarom itu, Nor Asmah Paniti, 52, yang menunggang motosikal Modenas seorang diri dilanggar dari belakang oleh motosikal jenis EX5.
Penunggang motosikal EX5 ialah seorang remaja lelaki berusia 18 tahun.
Kejadian itu dikatakan berlaku ketika Nor Asmah mahu membelok ke kanan untuk masuk ke kawasan klinik kesihatan.
Akibat rempuhan kuat, Nor Asmah terjatuh daripada motosikal menyebabkan kepalanya cedera parah manakala kaki dan tangan kanannya patah menyebabkan dia tidak sedarkan diri.
Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia pada pukul 9.30 malam di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR) selepas 14 jam menerima rawatan.
Remaja terbabit pula patah tangan kiri selain mengalami luka-luka di badan dan dirawat di Hospital Banting.-kosmo
Salam buat kengkawan semua. Apa khabar waris (warigh, kata orang Nogori Sembilan)? Moga-moga sihat semua.. Sebut pasal warigh, teringat aku lagu rapper Negeri Sembilan tu... (Aku tukar sikit liriknya) Melayu Telok..where you at? Jawa Sijangkang...where you at?, Melayu/ Jawa Kg. Medan...where you at?, Jawa Kebun Baharu...where you at? Jawa Jenjarom...Where you at? Sakai Telok Gonjeng...where you at? Semua ada berapa? Beribu-ribu. (Hahaha...Amekkau!) Sebut pasal Telok Panglima Garang, sebenarnya kita bercakap pasal kampung dan mukim menggunakan nama yang sama. Mukim Telok ini terletak dalam daerah Kuala Langat. Di dalamnya ada banyak kampung tradisional, kampung baru dan taman-taman perumahan yang sedang rancak naik macam cendawan lepas hujan. Aku sengaja masukkan dalam entri ini sejarah kg. Jenjarom.Walaupun Jenjarom berada dalam mukim yang lain ( Mukim Tanjong Dua Belas), namun hubungan erat penduduk telah terjalin sejak sekian lama. Dulu klinik kerajaan, dewan orang ramai, ,balai polis, pejabat pos hanya ada di Sg. Jarom. Jadi, Jenjarom penting bagi orang-orang di Telok. Korang tengok jer peta di bawah ni, korang akan get the picture, kata cikgu omputeh aku dulu.
Jadi, hari ini, aku nak bawa tuan-tuan, puan-puan, adik kakak ke mukim kami yang tercinta ini. Bukan citer pasal lanskapnya, tapi sejarah gemilangnya. Semoga anak-anak dapat belajar asal usul tempat tumpah darah datuk nenek , ayah emak kamu sekalian. Begini ceritanya..... Kampung Telok Panglima Garang Nama asal Kampung Telok Panglima Garang adalah Nibong Dengkil dan terletak di telok sungai di mana didiami oleh kaum orang asli. Disebabkan kedudukannya yang strategik, ramai pedagang-pedagang Aceh datang dan mula membuat penempatan di hilir sungai sehingga kawasan tersebut dipanggil Beting Pak Aceh. Apabila segolongan mereka mengetahui bahawa terdapat Orang Asli tinggal di Nibong Dengkil, maka pedagang Aceh ini mudik ke hulu untuk mengambilalih dan menguasai Nibong Dengkil. Sewaktu itu terjadi pergaduhan di antara mereka dan menyebabkan Orang Asli melarikan diri ke Bukit Tampoi di Dengkil. Di sepanjang perjalanan Orang Asli yang menyusuri sungai hingga ke Bukit Tampoi, Dengkil mereka telah berpesan kepada penduduk yang ditemui dengan kata-kata : "JAGA BAIK-BAIK DI TELOK ADA PANGLIMA GARANG" Sebagai bukti terdapat penduduk di kalangan penduduk asli di Bukit Tampoi, Dengkil mendakwa dan mengaku bahawa mereka berasal dari Telok dan menetap di sini setelah dihalau oleh pedagang Aceh yang amat handal dan garang. Begitulah asal-usul nama Kampung Telok Panglima Garang manakala lambang harimau diambil di atas keberanian dan sifat pedagang Aceh
Kampung Sijangkang Kampung Sijangkang merupakan salah satu kampung yang terletak di daerah Kuala Langat, Selangor, Malaysia. Kampung Sijangkang terletak lebih kurang 12 km dari arah Klang ke Banting di Kuala Langat. Pusatnya pekan Sijangkang.Nama Sijangkang berasal dari sejenis pokok yang menyamai pokok getah. Ia adalah sejenis pokok hutan yang menyebarkan biji-biji dengan cara ltupan sendiri. Nama pokok itu adalah pokok Jangkang. Pokok ini terdapat di sebahagian tempat di Indonesia.
Masih berkaitan dengan pendapat pertama juga. Pokok Jangkang itu mati di sebuah anak sungai yang kemudiannya diberi nama sungai Jangkang iaitu anak Sungai Langat. Dalam bahasa Cina, mati disebut 'si'. Maka timbul nama 'Si Jangkang' yang akhirnya bertukar menjadi 'SIJANGKANG'.
Adalah dianggarkan kampung ini mula dibuka dalam lingkungan tahun 1907. ia diteroka dari arah Sungai Jangkang. Sebahagian dari penduduk kampung ini adalah berasal dari Indonesia iaitu Pulau Jawa, manakala yang lainnya berasal dari kampung-kampung lain yang lebih lama dibuka seperti Kampung Beting Tengah dan Kampung Pendamar. Mereka mendarat dari Sungai Jangkang dari pengkalan-pengkalan kecil yang terdapat di tepi sungai. Ini bermakna kampung Benting Tengah dan Kampung Pendamar adalah lebih tua dari Kampung Sijangkang.
Tanah perkuburan yang pertama terletak hampir dengan sungai dan ketika ini dipercayai sudah terhakis oleh air sungai tersebut. Wakaf perkuburan yang ada sekarang asalnya adalah tapak masjid lama dan Sekolah Melayu lama (dibuka pada tahun 1911).Pada masa dulu tanah dari tepi sungai hingga ke perkuburan sekarang adalah di bawah Geran Bebas (Geran Putih) iaitu boleh dibeli oleh orang asing. Peneroka Kampung Sijangkang yang awal menjualnya kepada orang Cina untuk menambah pembiayaan menunaikan fardhu haji. Sebab itulah hingga sekarang, orang Cina masih mempunyai kebun di situ. Bagaimanapun dalam lingkungan tahun 1925, ada beberapa sekatan dan pindaan kanun tanah dari Geran Putih ke Geran Merah. Pada tahun 1930-an, kemudahan asas iaitu jalan raya mula dibina menghubungkan satu tempat ke satu tempat. Pekan (kedai-kedai termasuk pasar) Kampung Sijangkang yang awal adalah terletak di Batu 8 (jaraknya 8 batu dari Klang = 12.8 km). Kemudian selepas zaman darurat, selepas orang-orang Cina dipindahkan ke kampung-kampung baru, Pekan Kampung Sijangkang dipindahkan ke Batu 1. Tanaman hasil utama di Kampung Sijangkang ketika itu ialah getah dan kopi.
Pulau Carey Pulau Carey merupakan sebuah pulau yang terletak di dalam negeri Selangor, Malaysia. Ia terletak di selatan Pelabuhan Klang dan utara Banting. Pulau Carey merupakan pulau lembangan mendatar yang besar terletak di daerah Kuala Langat, Selangor, Malaysia. Walaupun secara teknikal ia merupakan sebuah pulau, namun pada hakikatnya tanah pulau ini hanya dipisahkan dari tanah besar disebabkan oleh kehadiran Sungai Langat diantara keduanya. Pulau Carey mendapat nama dari seorang pegawai British yang juga merupakan pengusaha ladang kopi dan getah bernama Valentine Carey, beliau dilihat arif dalam aktiviti pertanian dan kesuburan tanah pertanian yang telah digunakan melebihi 100 tahun. Pulau Carey juga pernah dikenali dengan nama seperti Pulau Bangsar dan Telok Gonjeng. Pulau Carey cukup sinonim dengan kewujudan penempatan awal masyarakat Orang Asli, Mah Meri yang terkenal di Malaysia. Mah Meri merupakan salah satu dari 18 buah puak Orang Asli yang wujud di Malaysia. Jarak Pulau Carey dengan bandaraya Kuala Lumpur ialah sekitar 50 kilometer. Di sini terdapat enam buah penempatan masyarakat Mahmeri iaitu di Kampung Sungai Judah, Kampung Bumbun, Kampung Sungai Rambai, Kampung Kepau Laut, Kampung Sungai Jugra dan Kampung Sungai Kurau (Shaiful Bahri Md. Radzi, 2002a). Komuniti Mah Meri di sini cukup ramai bilangannya mencapai 1400 orang, yang terkenal dalam aktiviti pembuatan boneka kayu dan topeng. Kampung Jenjarom Menurut catatan sejarah, Kampung Jenjarom mula diterokai oleh sekumpulan orang Melayu pada tahun 1926 bersamaan 1346 Hijrah dalam Kalendar Islam. Kumpulan peneroka kebun ini diketuai oleh Tuan Haji Masrek Haji Narang yang juga berketurunan Banjar. Pada asalnya, tanah di Kampung Jenjarom hanya diusahakan sebagai kawasan perkebunan. Antara tanaman yang mereka usahakan ialah nanas, pisang, ubi kayu dan banyak lagi. Setelah selesai berkebun, kumpulan peneroka ini akan pulang ke rumah masing-masing yang terletak berhampiran Kampung Jenjarom seperti di Sungai Jarom, Sungai Buaya dan Kampung Sijangkang. Jenjarom dibahagikan kepada dua kawasan, iaitu Sungai Jarom dan Kampung Jenjarom. Nama Kampung Jenjarom berasal dari sejenis tumbuhan yang dikenali sebagai Rumput Purun. Pada masa dahulu, rumput ini banyak tumbuh di sekitar kawasan Kampung Jenjarom. Bentuknya yang tirus, tajam dan tersusun seperti jarum memberi ilham kepada peneroka kampung untuk menamakan kampung ini sebagai Kampung Jenjarom. Ia dibahagikan mengikut kawasan-kawasan tertentu, bermula dari Kawasan Satu hingga Kawasan 12. Setiap kawasan ditandakan dengan sebuah papan tanda.
Mula mendapat tawaran masa kursus dulu, aku tak percaya akan ditempatkan di SJKT. Masa mula-mula masuk di SJKT Jenjarom, aku agak ragu-ragu. Rasa tak mampu, soalan tentang logiknya aku, seorang Melayu ditempatkan di SJKT selalu datang bertalu-talu. Dengan semua rakan kerja adalah berbangsa India, rasanya ketika tu mustahil untuk aku hidup di sini.
Tapi, Allah Maha Mengetahui. Sedikit demi sedikit, aku rasa aku dan SJKTJ adalah sama. Malah aku rasa bangga mengajar di SJKTJ. Banyak kisah lucu dan duka di sini. Paling kelakar bila anak-anak kecil tahun 1 memanggil aku kakak. DUnia mereka masih kecil. Tidak luas kerana kurang jauh perjalanan mereka. Pada mereka, orang Melayu adalah kakak (pembantu pra sekolah aku Melayu) yang membantu guru-guru mereka ketika mengajar. Seikhlasnya, aku simpati dengan mereka kerana kurangnya pendedahan.
Anak-anak ini nampak sangat semangat ingin menjalin hubungan baik dengan aku kerana aku berbangsa asing. Ketika aku beritahu yang aku bakal berpindah, mereka mengeluh dan bertanya kenapa. Ya, mereka tidak fasih berbahasa Malaysia kerana persekitaran. Tetapi mereka tetap cuba bercakap dengan aku walaupun kebanyakan waktu mereka berbahasa Tamil dengan menganggap aku memahaminya. Kelakar sangat rasanya berdepan dengan anak-anak ini. Kelakar tapi membahagiakan.
Berada di sekolah Tamil, aku selamat dari banyak perkara. Kurangnya teman berbicara menyelamatkan aku dari sudut pengurusan masa. Kemudahan tahap yang sederhana menyeronokkan aku. Mana nak dapat bilik guru yang ada 'cubicle' masing-masing. Itu tahap orang kerja pejabat. Dek kerana itu, aku mampu melengkapkan tempat bekerja aku dengan pelbagai kemudahan. Sampaikan Pushpa kata aku ni stationary shop. Even aku boleh terus mencetak dokumen disebabkan cubicle aku ada pencetak sendiri yang aku bawa dari rumah. Aku mampu menyediakan ABM sebanyak yang mungkin. Memang seronok di sini. Makan pun di meja sendiri.
Ada dua tiga perkataan yang aku belajar dari rakan-rakan guru dan anak-anak didik aku. Ukkar (duduk), paadi (baca), satham poda dei (Jangan bising), un gal dan pin gal (budak lelaki dan perempuan), sikkaru (cepat). Ada lagi kot. Tapi mungkin aku dah terlupa. Seronok juga belajar bahasa asing.
Bila permohonan tukar berjaya, aku akui hati aku separuh-separuh. Seronok juga di SJKT kerana aku sudah bersedia dengan bahan dan segala macam benda untuk tahun depan. Berpindah ke tempat baru bererti aku kena mula semula dari bawah. Setahun untuk aku menyesuaikan diri dengan suasana sedia ada. Harapnya, di sekolah baru aku dapat menyesuaikan diri nanti. I'm gonna miss my kids and colleagues... Bet, they don't believe this. :|
Tiada ulasan:
Catat Ulasan