Seterusnya saya telah ke Taman Karupiah dan di situ hampir semua rumah dimasuki air. Penduduk sibuk menimba air keluar rumah. Ada yang mengadu peti ais rosak, permaidani rosak dan barang makanan pun turut rosak kerana ditenggelami air banjir. Setelah melihat keadaan di beberapa lorong, saya bersama seorang penduduk pergi ke sebuah restoran dan membeli makanan untuk mangsa banjir. Ada yang tidak sempat untuk memasak makan malam. Sambil menunggu makanan disediakan, saya ke Masjid Padang Jawa untuk solat Maghrib. Di Masjid saya bertemu dengan beberapa orang yang sedang mencuci kawasan anjung Masjid yang telah juga ditenggelami air!Sekembali saya ke restoran saya bertemu dengan Ketua Kampung dan pegawai ADUN Batu Tiga. YB Rodziah sendiri berada di Temerloh, balik kampung, maklumlah baru hari raya kedua. Mereka memaklumkan bahawa Taman Manimaran dan Kg. Air kuning juga memerlukan bantuan makanan. Saya terus memesannya dari pihak restoran dan akhirnya 110 nasi bungkus berlaukkan ayam dan sayur untuk mangsa banjir telah dapat disediakan.
Seterusnya saya ke Kampung Air Kuning dan di situ juga hampir semua rumah dimasuki air. Pihak MBSA menyediakan khemah dan menguruskan lagi makanan tambahan untuk mereka dan juga untuk penduduk di Taman Manimaran yang diuruskan oleh pegawai YB Rodziah. Jam 12 saya pun sudah agak keletihan dan oleh kerana mereka tiba lewat sedikit berbanding saya, maka mereka menyatakan bahawa mereka akan uruskan selebihnya tanpa saya.
Sebenarnya pihak kerajaan Negeri telahpun meluluskan bajet sebanyak RM 20 Juta untuk mengatasi masalah banjir di Sungai Rasau. Ini termasuklah pemasangan kunci air dan pembinaan rumah pam serta pembinaan kolam takungan baru. Saya difahamkan dahulu kolam takungan semula jadi terletak di kawasan di belakang I-City tetapi malangnya ianya telah dibangunkan dan ini di antara sebab berlakunya banjir. Malangnya, projek RM20 Juta yang telah diluluskan belum lagi dijalankan sepenuhnya.
Saya akan mendesak JPS untuk menyegerakan projek ini. Pada masa yang sama saya akan juga berusaha untuk mendapatkan sedikit pampasan untuk penduduk yang terlibat, insyaAllah.
WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD
Tiada ulasan:
Catat Ulasan