ads

Jumaat, 10 Mei 2013

12 di sijangkang - Google Blog Search


URL Sumber Asal :-

12 di sijangkang - Google Blog Search


kiai haji husain haji abbas pengasas pondok <b>di sijangkang</b>

Posted: 07 May 2013 06:46 PM PDT

Susunan oleh Mohd Zulhairie

Dikenali sebagai Kiai Haji Husain bin Haji Abbas @ Abdullah Kafi bin Qaribun, adakalanya beliau dipanggil dengan nama jolokan (kunyah) 'Abu Bakar' di awal namanya. Hal ini kerana anak sulungnya adalah seorang perempuan, sebagaimana adat kebiasaan di kalangan orang-orang Arab, dan ada juga dipanggil dengan gelaran 'al-sijankani' di hujung namanya sebagai nasab kepada kampung Sijangkang.

Beliau  dilahirkan antara tahun 1918 atau 1919, tidak dapat dipastikan tarikh sebenar kerana salasilah keturunan beliau tidak dapat dipastikan dengan jelas, kerana beliau tidak suka menceritakan tentang nasab atau asal-usul keturunannya. Beliau meninggal dunia pada tahun 1981.

Namun diriwayatkan bahawa makam datuknya iaitu Kiai Qaribun yang terletak di Yogjakarta, Indonesia adalah di kawasan perkuburan orang-orang besar dan kuburnya agak berlainan dengan kubur orang biasa kerana lebih besar dan mempunyai ukiran-ukiran yang indah.

Sejak kecil lagi beliau sudah didik dengan Ilmu agama, dan antara guru terawal beliau ialah bapanya. Sebelum mengembara ke tanah jawa untuk menambahkan lagi ilmu beliau. Di Tanah Jawa, beliau belajar di beberapa buah pondok, antaranya Pesantren Lirboyo, Kota Kediri.

Di pesantren tersebut, beliau berguru dengan seorang guru yang bernama Kiai Haji Abdul Karim (1856-1954) iaitu pengasas pondok berkenaan, serta para penggantinya iaitu Kiai Haji Marzuqi Dahlan (1906-1975) dan Kiai Haji Mahrus Ali (1907-1985).

Beliau juga pernah belajar di beberapa Pesantren lain, antaranya Pesantren Termas dan Pesantren Tebuireng dan Pesantren Krapyak, Yogjakarta. Pesantren Krapyak atau Pesantren al-Munawwir diasaskan oleh Kiai Haji M. Moenawwir (1942) yang terkenal sebagai pakar al-Qur'an dan qiraat. Di pondok tersebut juga Kiai Husain tekun mempelajari al-Quran dengan gurunya Kiai Moenawwir dan menghayatinya sehinggalah beliau berjaya menghafaz keseluruhan 30 juzuk al-Quran serta menguasai seni qiraat.

Kecintaan beliau yang begitu tinggi terhadap ilmu agama dan rasa tanggungjawab beliau terhadap agama, menyebabkan Kiai Husain membuka sebuah pondok pengajian sekitar tahun 1944. Pondok yang didirikan tersebut dikenali sebagai 'Pondok Kiai Haji Husain Sijangkang' atau disebut di kalangan masyarakat Jawa sebagai 'Pondok Kiai Kusin'.

Di awal pembukaan Pondok tersebut, beliau mendapat galakan daripada penduduk di sekitar Sijangkang. Malah pondok ini juga disebut sebagai 'Asrama Haji Husain' dan 'Ma'ahad al-Talabah al-'Abbasiyah'.

Sistem pembelajaran adalah sama seperti sistem pondok-pondok lain di Malaysia, iaitu tiada peperiksaan, tiada kelas tambahan dan tiada sijil dikeluarkan.

Ini kerana objektif penubuhannya adalah untuk melahirkan pelajar yang alim dan mahir dalam bahasa Arab, dengan harapan mereka dapat memimpin masyarakat setempatnya apabila pulang ke kampong masing-masing.

Sebagai pengasas pondok tersebut, maka beliau adalah ketua dalam segala hal. Disebabkan itu segala kitab yang dibaca, disiplin dan perkara yang berkaitan pondok ditentukan sendiri oleh Kiai Hussin.

Pada umumnya kitab yang dibaca dapat dibahagikan kepada dua. Pertama kitab bagi pelajar baru dan kedua bagi pelajar-pelajar lama. Di antara kitab-kitab yang pernah dibaca golongan pertama ialah Matn al-Jurumiyyah (Nahu), Matn al-Taqrib (Fiqh), Matn al-Safinah (Fiqh), Matn Sullam al-Tawfiq (Fiqh), Matn Bina' (Sorof), Matn al-Arba'in (Hadis), Matn al-'Izzi (sharaf) dan Muqaddam.

Berikut pula adalah kitab-kitab yang dibaca bagi gologan kedua, iaitu:

Kitab-kitab Nahu, iaitu: Nizam al-'Umriti, Matn al-Fiyyah, Mutammimah, Syarh Ibn 'Aqil dan lain-lain lagi.

Kitab-kitab Fiqh, iaitu: Syarh al-Bajuri, Fath al-Mu'in, I'anah al-Talibin, al-Iqna', Nihayah al-Zain, Fath al-Wahhab dan lain-lain lagi.

Kitab-kitab tafsir, iaitu: Tafsir al-Jalalain, Tafsir al-Munir dan kitab-kitab tafsir lain.

Kitab-kitab sharaf, iaitu: Matn al-Bina', Matn al-Izzi, Matn al-Maqsud dan lain-lain lagi.

Kitab-kitab Hadis, iaitu: Matn al-Arba'in, Mukhtasar Ibn Abi Jumrah, Hadith Bukhari, Hadith Muslim, Mustalah al-Hadith dan lain-lain lagi.

Kitab Akhlak, iaitu: Ta'alim al-Muta'alim.

Kitab-kitab Tasauf, iaitu: Hidayah al-Salikin, Maraqi al-'Ubudiyyah dan Ihya' Ulum al-Din.

Cara pertama dipanggil 'sorokgan' iaitu selepas guru mengajar, pelajar mestilah membaca seorang demi seorang di hadapannya dengan betul. Kadang-kadang dikehendaki menghafal kalimah tersebut. Cara ini digunakan biasanya kepada pelajar baru.

Cara kedua secara 'bandungan' iaitu pelajar dikehendaki memahami kitab yang dibaca oleh kiai dan mencatit makna kalimah. Cara ini digunakan kepada pelajar lama khasnya yang telah membaca kitab-kitab asas.

Sesuai dengan gelaran seorang ulama yang menghafal 30 juzuk al-Quran keseluruhannya pada zamannya, beliau memiliki sebuah mushaf al-Quran kecil bersaiz poket dan sentiasa membawanya bagi mengingati ayat-ayat al-Quran yang dihafalnya. Sebagai seorang hafiz al-Quran, beliau sering mengulang-ulang kelancaran hafalannya, terutama di bulan Ramadan, yang mana beliau akan mengkhatamkan al-Quran dalam solat tarawih.

Beliau juga memberikan ijazah khas al-Quran dengan qiraat Hafs 'an 'Asim yang disebut sebagai Syahadah al-Qurianiyyah kepada murid-muridnya yang telah khatam al-Quran dengan beliau.

Kiai Haji Husain juga dikenali sebagai ahli dalam ilmu falak dan mengajarkan ilmu tersebut kepada murid-muridnya. Bahkan pondok yang diasaskan boleh beliau turut mengeluarkan sendiri kalendar tahunan yang mengandungi takwim hijrah yang disertakan dengan kalendar jawa dan waktu solat.

Kalendar tersebut dikeluarkan pada setiap tahun dan masih wujud sehinggalah kini dan masih digunapakai oleh masyarakat Jawa, khususnya di Selangor hingga ke selatan Perak.

Sebagaimana ulama-ulama lain yang banyak menghasilkan karya dalam penulisan, Kiai Husain juga banyak menghabiskan masanya dengan menyalin kitab-kitab, termasuklah syair-syair, hadis-hadis sehinggalah kitab-kitab yang agak tebal. Bahkan dikatakan sehingga kini sebahagian kitab-kitab yang disalinnya masih tersimpan dengan baik.

Namun, tidak diketahui sebarang karya asli yang dihasilkan oleh beliau. Dalam kajian pembentang tersebut, hanya ditemui sebuah sahaja iaitu, terjemahan Matn Ajrumiyah ke dalam bahasa Jawa yang diselesaikan oleh beliau pada tahun 1348 H dan masih berbentuk tulisan tangan.

Beliau kembali ke rahmatullah pada 11 Zulhijjah tahun 1401 H (1981 M) dan dikebumikan di Perkuburan Islam Simpang Lima, Klang. Beliau pernah menyatakan bahawa beliau tidak mahu melebihi umur NabI Muhammad SAW, dan ditakdirkan beliau menghembuskan nafas terakhir sekitar umur 62 tahun.

Di akhir-akhir hidupnya, beliau juga pernah menyuruh anaknyaMuhammad Mahin untuk membuatkan meja rendah, dengan alasan mudah untuk meletakkan makanan dan menjaganya agar tidak dihurung semut. Namun, beliau menyuruh agar dibuat lebih panjang sehingga ukuran seseorang dapat berbaring atasnya. Dengan takdirnya meja yang tersebut jugalah yang digunakan untuk meletakkan jenazah beliau.

Selain itu, terjadi juga sesuatu yang menghairankan semasa kematian beliau, di mana tarikh di kalendar bertukar menjadi warna hitam, walhal kalendar tersebut dicetak tidak menggunakan dakwat hitam. Namun apabila ditanya kepada pihak percetakan, mereka juga tidak dapat memberi jawapan tentang perkara tersebut.

Kiai Haji Husain mendirikan rumah tangga dengan anak perempuan seorang tokoh ulama Jawa yang terkenal di Selangor suatu masa dahulu iaitu Kiai Haji Dahlan bin Haji Hassan Isbath.

Hasil perkahwinan dengan Hajah Darwiyah tersebut, beliau dikurniakan lapan cahaya mata, iaitu Hajah Jamalah, Hajah Fauziah, Haji Muhammad Mahin, Haji Mujib, Hajah Aishah, Hajah Barirah, Hajah Munah dan Hajah Jumanah.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

BLOG SELANGOR

Copyright 2010 All Rights Reserved